KANGAR, 15 Julai (Bernama) -- Bekas pembantu penguat kuasa dan penolong pegawai seni bina di pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perlis direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah kira-kira RM70,000.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah reman terhadap lelaki yang telah bersara sebagai pembantu penguat kuasa di PBT berkenaan berusia 61 tahun dan penolong pegawai wanita berumur 37 tahun itu, dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan kira-kira 1.30 tengah hari ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, semalam.
Menurut sumber, dua individu terbabit disyaki meminta dan menerima rasuah RM300 hingga RM9,000 daripada pemohon sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar negeri itu bagi tempoh 2022 hingga 2024.
“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah daripada pemohon-pemohon melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi suspek lelaki, yang kemudiannya dikongsikan bersama suspek wanita,” menurut sumber itu hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA