EKONOMI

TINJAUAN RAM: PERNIAGAAN MOHON SOKONGAN KERAJAAN, AKSES PEMBIAYAAN LEBIH BAIK

15/07/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Perniagaan memohon agar kerajaan memberikan lebih banyak bantuan, terutamanya dari segi akses pembiayaan yang lebih baik dan modal kerja, menurut RAM Holdings Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi penarafan kredit itu berkata geran dan subsidi langsung turut mendapat permintaan tinggi bagi membantu mengurangkan cabaran yang ditimbulkan daripada ketegangan perdagangan.

“Tinjauan Indeks Keyakinan Perniagaan RAM-CTOS (BCI) terkini menunjukkan tekanan yang semakin meningkat yang dihadapi oleh perniagaan di Malaysia akibat kenaikan kos, persaingan yang semakin sengit dan gangguan perdagangan luar seperti tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif RAM Chris W.K. Lee berkata walaupun perniagaan kekal berhati-hati, tetapi ia sesuatu yang menggalakkan untuk melihat syarikat-syarikat masih terus melabur dan mengambil pekerja.

Beliau berkata kerajaan dan pihak berkepentingan industri perlu bekerjasama untuk menyahut cabaran baharu agar perniagaan dapat terus bertahan dan berkembang maju.

Sementara itu, RAM berkata bahawa tinjauan suku kedua 2025, yang dijalankan dari 29 Mei hingga 28 Jun dan melibatkan 33 firma, memberi tumpuan khusus kepada kesan tarif AS ke atas barangan Malaysia.

“Kira-kira dua pertiga daripada firma yang ditinjau menjangkakan kesan negatif daripada tarif ini, di mana sebanyak 27 peratus firma menjangkakan kesan negatif yang ketara, manakala 18 peratus firma menjangkakan kesan sederhana dan kecil.

“Jualan dan hasil mendahului senarai aspek perniagaan yang berkemungkinan terjejas, diikuti oleh margin keuntungan, rantaian bekalan dan aliran tunai,” katanya.

Sebagai langkah tindak balas, agensi itu berkata, syarikat yang ditinjau mengamalkan strategi berkaitan kos untuk mengurangkan kesan tarif.

Kira-kira 42 peratus memberi tumpuan kepada pengurangan perbelanjaan operasi, manakala 39 peratus menyesuaikan strategi harga untuk kekal berdaya saing, tambahnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan