DUNIA

CISCE KALI KETIGA BUKA TIRAI RABU, DISERTAI 1,200 PEMPAMER DARI SELURUH DUNIA

15/07/2025 04:11 PM

BEIJING, 15 Julai (Bernama-CMG) -- Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) edisi ketiga akan membuka tirainya di Beijing pada Rabu, dengan penyertaan lebih 1,200 pempamer dari dalam dan luar negara.

Bertemakan “Connecting the World for a Shared Future”, CISCE 2025 memberi tumpuan kepada enam rantaian perindustrian iaitu pembuatan canggih, pertanian hijau, teknologi digital, gaya hidup sihat, kenderaan pintar dan tenaga bersih. 

Selain itu, turut disediakan satu zon khusus bagi mempamerkan perkhidmatan berkaitan rantaian bekalan.

Menurut penganjur, seramai 651 syarikat dan institusi tempatan dan antarabangsa menyertai ekspo kali ini, dengan 35 peratus daripadanya terdiri daripada pempamer asing.

Lebih 500 lagi rakan kongsi daripada sektor huluan dan hiliran turut mengambil bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan mencecah 1,200 — angka tertinggi setakat ini bagi CISCE.

Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT) turut memaklumkan bahawa pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia Corporation, Jensen Huang dijadual menghadiri majlis perasmian CISCE ke-tiga serta menyertai beberapa aktiviti berkaitan. 

Ini merupakan kunjungan ketiganya ke China sejak awal tahun ini.

Ekspo CISCE ke-3 akan berlangsung dari 16 hingga 20 Julai di ibu negara China.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan