EKONOMI

DXN LEBAR SAYAP GLOBAL, PERLUAS PRODUK SIAP DIMAKAN DAN DIMASAK

15/07/2025 06:29 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Pengeluar dan pemasar produk kesihatan berasaskan herba semula jadi, DXN Holdings Bhd menyasarkan untuk memperluas portfolio produknya menerusi pelancaran barisan baharu makanan sedia dimakan (RTE) dan makanan sedia dimasak (RTC).

Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya Datuk Lim Siow Jin berkata langkah itu bagi menembusi pasaran antarabangsa secara lebih agresif.

Katanya, syarikat kini dalam fasa akhir untuk membangunkan kemudahan dapur berpusat bagi memacu pengeluaran produk RTE dan RTC.

“Teknologi pembekuan terkini membolehkan produk seperti ikan siap proses gred sushi dan sashimi tahan sehingga 18 bulan. Ini membuka peluang eksport ke seluruh dunia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lim berkata produk baharu tersebut termasuk makanan laut segar yang diproses terus dari pusat penetasan DXN di Pulau Tuba, Kedah, dijangka mengulangi kejayaan produk kopi DXN yang kini menjadi antara penyumbang pendapatan tertinggi syarikat.

“Jika kopi pun boleh mencapai ke tahap itu, makanan harian seperti RTE dan RTC ini pasti boleh pergi lebih jauh,” katanya sambil menambah produk DXN kini diagih melalui rangkaian lebih 20 juta ahli di 54 negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasinya Abdul Hafiz Mahmood Hisham berkata syarikat yakin dapat mengagihkan lebih 50 peratus daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen pada tahun ini selaras dengan dasar nisbah agihan minimum syarikat.

Beliau berkata bagi tahun kewangan yang berakhir 28 Feb, tahun ini, DXN mengagihkan 56 peratus daripada keuntungan bersihnya sebagai dividen dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM362 juta sejak penyenaraian semulanya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Mei, 2023.

Pada 27 Januari, Lembaga Pengarah DXN mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 1.00 sen sesaham biasa berjumlah RM49.72 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 28 Feb, 2025.

Bagi keseluruhan tahun, keuntungan bersih syarikat tersebut meningkat 5.8 peratus kepada RM329.03 juta daripada RM310.99 juta pada tahun kewangan 2024 manakala hasil meningkat 5.84 peratus kepada RM1.91 bilion daripada RM1.80 bilion.

Pertumbuhan hasil tersebut dipacu oleh prestasi jualan yang kukuh di pasaran utama seperti Peru, Bolivia, Timur Tengah dan Turkiye serta disokong oleh strategi pemasaran yang disasarkan berjaya mengekalkan penglibatan ahli sepanjang tahun.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan