AM

SPICE AND SOUL OF MALAYSIA: LONJAK SEGMEN GASTRONOMI, BANTU CAPAI SASARAN TMM 2026

15/07/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Spice and Soul of Malaysia, sebuah inisiatif berteraskan gastronomi dan kebudayaan mampu merangsang segmen makanan dan minuman (F&B), sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung berkata tahun lepas, nilai eksport segmen berkenaan merekodkan pertumbuhan 16.1 peratus dengan jumlah keseluruhan mencecah RM17.19 bilion.

“Program seperti ini (Spice and Soul of Malaysia) bukan sahaja membantu memasarkan lebih banyak produk makanan tempatan ke peringkat antarabangsa dan domestik, malah berpotensi menarik perhatian lebih ramai pelawat.

“Kita juga menggalakkan lebih banyak penglibatan daripada pemain industri, termasuk hotel dan restoran untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program itu di sini hari ini.

Inisiatif pertama kali diadakan itu adalah sebahagian usaha strategik memperkukuh promosi kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM2026), antara lain memperkenalkan Midnight Supper, budaya makan lewat malam yang menjadi gaya hidup masyarakat Malaysia, selain beberapa hotel mengambil bahagian menampilkan dekorasi dan penyediaan makanan bertemakan etnik.

Sebanyak lima entiti mengambil bahagian iaitu restoran di bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Saloma Kuala Lumpur, Hotel Royal Signature, Hotel Saujana dan Ibis Kuala Lumpur.

Lee berkata segmen gastronomi antara faktor utama yang menjadi tarikan kepada pelancong ketika memilih destinasi percutian.

“Apabila seseorang melancong, makanan adalah aspek utama yang dicari. Melalui program Midnight Supper yang mengetengahkan budaya makan lewat malam, kita dapat mempamerkan kepelbagaian dan keunikan makanan tempatan kepada para pelawat.

“Ia juga membantu memanjangkan tempoh penginapan dan meningkatkan perbelanjaan pelancong, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi setempat,” katanya.

Spice and Soul of Malaysia adalah inisiatif strategik dalam usaha mempromosikan kempen Tourism Malaysia dengan mengetengahkan warisan budaya serta pengalaman kulinari unik kepada dunia.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan