AM

JKPK DEWAN RAKYAT MAMPU KURANGKAN KETEGANGAN ANTARA AHLI PARLIMEN - JOHARI

16/07/2025 01:28 PM

PETALING JAYA, July 16 (Bernama) -- Penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Dewan Rakyat kira-kira dua tahun lepas dilihat mampu mengurangkan ketegangan dalam kalangan Ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata ini kerana setiap satu daripada JKPK sedia ada perlu dianggotai oleh Ahli Parlimen kedua-dua pihak sama ada daripada blok kerajaan mahupun pembangkang.

“Sekarang saya sudah wujudkan 10 JKPK dengan anggota daripada kedua-duanya (kerajaan dan pembangkang). Apabila anda menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan, sebarang keputusan yang dibuat dalam jawatankuasa itu bukan keputusan pembangkang atau kerajaan. Ia adalah keputusan bersama.”

“... setidaknya kita boleh (mengurangkan) sedikit (ketengangan). Jika ada dinding pemisah, kita runtuhkan. Tidak runtuh pun, rendahkan supaya anda boleh melepasi dinding pemisah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Hari Perhubungan Awam Sedunia 2025 di Universiti SEGi di sini hari ini.

JKPK yang ada ketika ini merangkumi JKPK Kewangan dan Ekonomi; JKPK Kesihatan; JKPK Perdagangan dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; JKPK Infrastruktur Pengangkutan dan Komunikasi; dan JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Selain itu, JKPK Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat; JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; JKPK Keselamatan; JKPK Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa; serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Pada masa sama, Johari berkata pihaknya juga telah memperkenalkan beberapa seminar yang dibiayai oleh pejabatnya dan dianjurkan oleh JKPK dengan libat urus bersama komuniti, antaranya ‘hybrid lembu sado’ serta berkenaan air bawah tanah, diikuti seminar tentang isu perumahan rakyat selepas ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan