TASEK GELUGOR, 16 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) telah melupuskan 822 ekor babi dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) yang melanda tiga ladang ternakan itu di Kampung Selamat, di sini hingga semalam.
Pengarahnya Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata ia membabitkan 578 babi hidup yang dimatikan sebelum ditanam dan 244 babi yang telah mati dan ditanam.
"Semua babi itu sama ada yang telah mati sendiri atau dimatikan kerana dijangkiti ASF sejak pertama kali dilaporkan pada 7 Julai lepas, ditanam di ladang babi yang telah disahkan positif sahaja.
“Hingga 12 Julai lepas tiada ladang baharu dilaporkan positif ASF dan kekal tiga ladang sahaja namun pihak kami terus melakukan pemantauan rapi bagi memastikan tiada penularan penyakit tersebut di ladang babi lain di Kampung Selamat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selain itu, beliau berkata pihak JPVPP telah dan sedang melaksanakan langkah membendung penyakit ASF itu, antaranya sekatan dan larangan pemindahan babi dari ladang terlibat mengikut rumah sembelih yang ditetapkan.
Dr. Saira Banu berkata pemantauan dan pensampelan aktif diteruskan di rumah sembelih babi dan ladang serta peningkatan kawalan biosekuriti serta kesedaran kepada penternak.
Beliau berkata JPVPP turut menjalankan siasatan lanjut terhadap ladang yang gagal melaporkan kematian haiwan itu dan sedang mencari tanah yang sesuai untuk tapak pelupusan babi yang mati atau dilupuskan selepas dijangkiti ASF.
Sebelum ini media melaporkan tiga ladang ternakan babi di Kampung Selamat di sini disahkan positif penyakit ASF berdasarkan keputusan ujian makmal oleh Makmal Veterinar Zon Utara.
Dua ladang menunjukkan kadar kematian ternakan yang tinggi dan menimbulkan kebimbangan terhadap potensi penularan penyakit tersebut ke ladang lain di kawasan berdekatan.
-- BERNAMA