AM

CADANGAN PELARASAN TARIF AIR BAHARU DI N.SEMBILAN DEMI KELESTARIAN BEKALAN - SAINS

16/07/2025 08:30 PM

SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Cadangan pelarasan kadar tarif bekalan air di Negeri Sembilan bakal memberi suntikan baharu bagi meningkatkan keupayaan sistem dan aset bekalan air demi memastikan kelestarian bekalan air negeri ini.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan kadar tarif baharu itu akan melibatkan semua kategori akaun pelanggan yang dianggarkan lebih 490,000 akaun. 

"SAINS masih lagi mensubsidi pelanggan domestik yang menggunakan air di bawah 20 meter padu sebulan kerana kadar baharu dicadangkan masih di bawah kos operasi sebenar.

"Cadangan semakan semula kadar tarif air ini masih dalam penelitian Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk dimuktamadkan sebelum mendapat kelulusan di peringkat Kerajaan Persekutuan," menurut kenyataan itu.

SAINS memaklumkan pihaknya mengharapkan kerjasama dan pemahaman semua pihak bahawa dengan pelarasan kadar tarif bekalan air baharu itu akan menambah baik perkhidmatan dan infrastruktur sistem bekalan air di negeri berkenaan.

"Ia sekali gus memberi keselesaan serta jaminan kecukupan bekalan air pada masa hadapan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, SAINS memaklumkan cadangan pelarasan kadar tarif itu juga bagi menambah baik kualiti dan tahap perkhidmatan bekalan air terawat yang diberikan kepada penduduk di negeri ini.

"Di antara cabaran utama dihadapi SAINS ketika ini adalah aset bekalan air yang telah berusia seperti paip jenis simen asbestos yang sering pecah dan menyebabkan gangguan bekalan air.

"Di samping itu, peningkatan permintaan disebabkan beberapa faktor semasa seperti pembangunan pesat terutamanya di daerah Seremban dan Port Dickson serta pertambahan penduduk dan pelaksanaan projek pembangunan tapak industri di Malaysian Vision Valley 2.0 (MVV2.0)," menurut kenyataan itu.

SAINS memaklumkan selain itu, perubahan iklim semasa juga menyebabkan kualiti sumber air mentah berubah dan memerlukan kos merawat yang lebih tinggi untuk memastikan bekalan air disediakan mengikut standard piawaian air minum kebangsaan.

Bagi mengatasi cabaran berkenaan, SAINS sedang melaksanakan projek pembangunan infrastruktur bekalan air berterusan bagi menjamin kecukupan bekalan air untuk keperluan semasa dan seterusnya memenuhi permintaan pembangunan pelbagai sektor serta industri pada masa akan datang. 

"SAINS memperuntukkan hampir RM1.3 bilion bagi pelaksanakan projek-projek dalam Tempoh Pengoperasian 5 dan 6 (tahun 2021 hingga 2026) dalam Pelan Perniagaan SAINS.

"Antaranya seperti projek naik taraf loji, pembinaan loji dan rumah pam baharu, program Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) serta penggantian paip berusia di seluruh negeri," menurut kenyataan itu.

SAINS memaklumkan bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur bekalan air yang dirancang itu, sumber kewangan yang mapan amatlah penting. 

Sebelum ini, SPAN mengesahkan penerimaan permohonan semakan kadar tarif bekalan air daripada operator di 10 negeri yang berada di bawah kawal selia agensi itu, namun penelitian rapi masih dibuat. 

Selain Negeri Sembilan, negeri terlibat adalah Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan