KOTA TINGGI, 17 Julai (Bernama) -- Projek pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (HPUSIM) di Mukim Sedili berpotensi menjadi pemangkin atau ‘game changer’ utama kepada pembangunan kawasan Parlimen Kota Tinggi, kata Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata projek tersebut kini dalam peringkat perancangan dan penelitian rapi, termasuk penentuan kos serta pemilihan kontraktor yang sesuai.
“Projek ini sedang dirangka dan diteliti. Tentunya melibatkan pertimbangan kos terlebih dahulu, barulah proses pemilihan kontraktor dilaksanakan.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kita akan melihat perkembangan projek ini. Ia bukan sesuatu yang diluluskan hari ini dan terus dibina esok,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kembara Lestari @ Kota Tinggi anjuran Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Felda Lok Heng Barat, hari ini.
Menurut beliau, fasa pertama pembinaan HPUSIM melibatkan peruntukan kira-kira RM900 juta dan dijangka memberi limpahan ekonomi besar kepada penduduk setempat, khususnya di kawasan Sedili.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menzahirkan keyakinan bahawa pembinaan HPUSIM akan memberi impak besar terhadap pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.
Baginda bertitah, projek berkenaan diyakini mampu merancakkan ekonomi tempatan dan memberi manfaat meluas kepada rakyat Johor secara keseluruhan.
-- BERNAMA