IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan sistem komunikasi dan pengarkiban gambar (PACS) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dapat meningkatkan keberkesanan diagnosis, sekali gus mempercepat rawatan pesakit serta mengurangkan penggunaan filem dan ruang penyimpanan fizikal.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Perak Dr Roniyuzam Abd Malek berkata ia sejajar dengan usaha kerajaan ke arah pendigitalan sistem kesihatan negara.
Beliau berkata melalui PACS, imej radiologi seperti X-ray, imbas CT dan pengimejan resonans magnetik (MRI) kini boleh disimpan, dicapai dan dikongsi secara digital tanpa bergantung kepada filem fizikal.
"Hal ini sekali gus membantu dalam penyediaan data bagi Hospital Kluster Ipoh mengurangkan risiko kesilapan perubatan selain meningkatkan tahap keselamatan pesakit.
"Saya yakin dan percaya bahawa PACS bukan sahaja memberi impak kepada doktor dan juru X-ray malah kepada seluruh pasukan kesihatan kerana rawatan yang cepat dan tepat bermula daripada diagnosis yang efisien," katanya berucap pada majlis perasmian dan penyerahan PACS Peringkat Perak yang turut dihadiri Pengarah HRPB Dr Saiful Azlan Sharif di sini hari ini.
Dr Roniyuzam berkata beberapa cabaran dihadapi Jabatan Radiologi sebelum ini, yang perlu mengambil tempoh masa lama khususnya dari segi proses pencarian data selain berdepan dengan peningkatan kos pencetakan filem serta bebanan bilangan pesakit yang makin bertambah.
"Terdapat juga risiko filem-filem yang tidak dapat dikesan dan pengulangan ujian radiografi akan menyebabkan penambahan beban radiasi kepada pesakit khususnya pesakit kanak-kanak.
"Oleh sebab itu, pelaksanaan PACS di HRPB menandakan satu evolusi digital yang cukup signifikan bagi perkhidmatan perawatan kesihatan," katanya.
Pelaksanaan projek PACS di HRPB merupakan satu daripada inisiatif strategik di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menyediakan kemudahan penyimpanan dan capaian imej radiologi secara digital yang efisien dan selamat.
PACS membolehkan proses diagnosis dan rawatan berjalan dengan lebih cepat, tepat dan berkesan, perkongsian imej radiologi dapat dikongsi dengan lebih pantas dan tepat antara jabatan seperti wad, klinik, daycare, Jabatan Kecemasan dan Trauma dan dewan bedah.
PACS mampu mengurangkan waktu menunggu doktor dan pesakit untuk mengakses imej radiologi malah, statistik awal menunjukkan lebih 98 peratus imej radiologi boleh diakses dalam tempoh 10 minit selepas tamat pemeriksaan.
-- BERNAMA