SUKAN

NAFUZI PERSIAP STRATEGI AMPUH HADAPI INDONESIA

18/07/2025 11:34 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 18 Julai (Bernama) -- Berbekalkan momentum daripada kemenangan besar 7-1 ke atas Brunei hari ini, skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak berlengah dalam mengatur percaturan untuk menghadapi cabaran lebih getir menentang Indonesia pada 21 Julai ini bagi merebut tempat ke separuh akhir Kejuaraan AFF B-23.

Ketua jurulatih Nafuzi Zain berkata fokus kini tertumpu sepenuhnya kepada membina strategi ampuh dan mempersiap pemain dari segi mental dan fizikal menjelang aksi penentu Kumpulan A itu.

"Perlawanan menentang Indonesia adalah cabaran terbesar. Tetapi kita tidak akan berundur. Fokus kini adalah pada pemulihan pemain serta persiapan mental dan fizikal menjelang aksi seterusnya," katanya selepas perlawanan di sini.

Beliau berkata analisis terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan Indonesia namun beliau tidak menafikan cabaran serta tekanan beraksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK).

Keadaan itu katanya memerlukan pemain melakukan persiapan diri dengan semangat juang yang tinggi bagi menyaingi sorakan padu penyokong tuan rumah dan turun dengan penuh keyakinan.

"Kita tahu penyokong Indonesia luar biasa dan sangat fanatik, tetapi pemain kita juga tidak kurang semangat juangnya. Ini masa untuk membuktikan kemampuan,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas strateginya menukar kesebelasan utama menentang Brunei hari ini, katanya hal itu dilakukan berikutan masalah kecederaan pemain selain bertujuan memberi peluang kepada pemain lain untuk mendapatkan pengalaman.

Pemain terbaik perlawanan hari ini, Muhammad Haqimi Azim Rosli, yang menjaringkan dua gol bertekad untuk memberikan yang terbaik dan membawa momentum kemenangan itu ke aksi seterusnya.

"Saya janji akan beri 100 peratus untuk bantu pasukan mara ke separuh akhir," katanya.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan