AM

MAHKAMAH PARIS PUTUSKAN PEMBATALAN KES SULU 9 DIS

19/07/2025 12:28 AM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan Paris menangguhkan keputusan mengenai permohonan Malaysia untuk membatalkan Award Akhir sebanyak USD14.9 bilion dalam kes timbang tara difailkan kumpulan Sulu, ke 9 Dis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan berkata keputusan itu susulan perbicaraan pada 7 Julai lepas apabila mahkamah memuktamadkan perbicaraan mengenai merit untuk membatalkan Award Akhir dalam kes itu.

Azalina berkata semasa perbicaraan pihak yang menuntut cuba menangguhkan prosiding untuk memberi maklum balas kepada pandangan bertulis pendakwa raya Perancis.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dan meneruskan perbicaraan.

"Dalam konteks ini, Malaysia meletakkan keyakinannya terhadap proses dan keputusan Mahkamah Rayuan Paris dalam membawa pengakhiran muktamad terhadap tuntutan kumpulan Sulu sama seperti pendirian mahkamah Sepanyol dan Belanda,” kata Azalina.

Kerajaan juga mengulangi pendirian mengenai keperluan kepada ketelusan dalam mekanisme pembiayaan litigasi pihak ketiga untuk mencegah pemaksaan mereka terhadap negara berdaulat.

“Malaysia pada masa sama terus memperjuangkan pembangunan satu kerangka global yang meletakkan ketelusan sebagai teras utama dalam pembiayaan litigasi oleh pihak ketiga, bagi memastikan satu mekanisme yang bertujuan untuk menggalakkan akses kepada keadilan tidak disalahgunakan sebagai instrumen undang-undang terhadap negara yang berdaulat.

"Timbang tara antarabangsa mesti dilindungi daripada cubaan memeras ugut negara berdaulat dengan menyamar di sebalik tuntutan timbang tara,” katanya.

Azalina menekankan bahawa Kerajaan MADANI kekal teguh dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia dan integriti timbang tara antarabangsa.

Sebelum ini, lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah, dan pada Mac 2019 sebuah mahkamah di Madrid telah melantik Dr Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.

Pada 28 Feb 2022, Stampa membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan Award Akhir sebanyak USD14.9 bilion, namun ia merupakan hasil daripada timbang tara yang tidak sah kerana pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah dibatalkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Sepanyol.

Pembatalan pelantikan kehakiman Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu dibuat Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid pada 2021.

Malaysia sebelum ini telah memperoleh beberapa siri kemenangan dalam kes tuntutan kumpulan Sulu antaranya pada November tahun lepas, dengan Mahkamah Agung Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan berkenaan.

Kemenangan bersejarah buat Malaysia itu bermakna asas awal yang membawa kepada Award Akhir iaitu Malaysia perlu membayar pampasan sebanyak USD14.9 bilion, tidak diiktiraf di bawah undang-undang Perancis.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan