AM

JOHOR AMBIL INISIATIF TUKAR 969 KATIL USANG DI HSA

19/07/2025 03:59 PM

JOHOR BAHRU, 19 Julai (Bernama) -- Sebanyak 969 daripada 1,206 katil di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dikenal pasti sudah usang dan dipercayai telah digunakan sejak tahun 1970-an.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Ling Tian Soon negeri berkata kerajaan negeri berusaha memastikan keselesaan pesakit dengan mengambil inisiatif bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menukar katil baharu.

Beliau berkata usaha itu membuahkan hasil apabila 860 katil disumbangkan pelbagai pihak termasuk syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan yayasan sejak awal bulan ini.

‘’Sumbangan itu melibatkan pelbagai jenis katil termasuk katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil biasa untuk dewasa, bayi dan kanak-kanak.

‘’Mudah-mudahan dalam bulan September ini, kita dapat mencapai jumlah keseluruhan 969 katil yang perlu ditukar,’’ katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Katil oleh Persatuan Fo Guang Shan di Wad Perubatan Perempuan PP1 HSA di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah HSA Dr Mohamad Nizam Subahir.

Ling berkata kesemua katil yang disumbangkan itu akan diserahkan kepada pihak HSA secara berperingkat dalam masa terdekat.

“Difahamkan ketika ini agak sukar untuk mendapatkan katil hospital di pasaran dan ia perlu di import dan mengambil masa untuk diperoleh. Justeru, ia akan diserahkan secara berperingkat,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata inisiatif berkenaan dapat memastikan perkara lain yang lebih penting termasuk menaik taraf kemudahan di hospital menjadi keutamaan menerusi peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM).

‘’Oleh itu, kami (kerajaan negeri) ambil inisiatif untuk bantu pihak hospital dan menganggap ia sebagai satu tanggungjawab dengan bantuan ikhlas,’’ katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan