AM

MSMR 2025 CATAT PENAMPILAN SULUNG DI KUCHING SEMPENA HARI SARAWAK

19/07/2025 07:58 PM

KUCHING, 19 Julai (Bernama) -- Kira-kira 2,500 peserta dari seluruh negara menyertai Malaysia Sarong Music Run 2025 (MSMR 2025) yang julung kali dianjurkan di negeri ini bersempena sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara itu merupakan satu bentuk larian perpaduan yang mengeratkan silaturahim rakyat Malaysia.

“Larian ini amat baik sekali kerana dapat merapatkan silaturahim rakyat Malaysia terutama rakyat Sarawak. Tahniah dan syabas kepada pihak penganjur,” katanya yang mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum melepaskan peserta di Metrocity Matang di sini hari ini.

Bertemakan larian santai budaya, MSMR 2025 menjadi platform yang menggabungkan gaya hidup sihat dan penghargaan terhadap warisan tradisional dengan peserta mengenakan kain sarung sambil menyusuri laluan tiga atau lima kilometer yang menonjolkan elemen budaya tempatan.

Program berkenaan dianjurkan Malaysia Marathon, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta LOCCO selaku penganjur ‘Keretapi Sarong’ dan disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Sepanjang laluan, peserta disajikan dengan pelbagai persembahan termasuk tarian singa dan naga, gendang serta tarian tradisional pelbagai kaum dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, LOCCO dalam kenyataan memaklumkan acara berkenaan menekankan penghargaan warisan dan keterangkuman, khususnya dalam persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

“Lebih daripada sekadar larian, MSMR 2025 bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam komuniti dan mengangkat budaya sebagai satu gerakan aktif.

“Acara ini mengajak rakyat pelbagai peringkat umur dan latar belakang untuk menyertai satu pergerakan yang berwarna-warni, bermakna dan berteraskan identiti kepelbagaian Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan