KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Lapan kawasan masing-masing empat di Sabah dan Sarawak mencatatkan suhu panas tahap berjaga-jaga setakat 4 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kemas kini status cuaca panas di Facebook memaklumkan empat kawasan di Sabah melibatkan Kota Marudu, Beluran, Telupid dan Sandakan.
Empat kawasan di Sarawak pula melibatkan Sibu, Marudi, Telang Usan dan Limbang.
Menurut MetMalaysia, suhu panas tahap berjaga-jaga ialah apabila suhu maksimum harian sesuatu kawasan mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia di www.met.gov.my.
-- BERNAMA