AM

MALAYSIA-SINGAPURA TEROKA KERJASAMA DALAM TIGA BIDANG UTAMA, PERKASA PERKHIDMATAN AWAM

20/07/2025 06:56 PM

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Singapura kini meneroka kerjasama strategik dalam tiga bidang utama iaitu GovTech, perumahan awam dan pembaharuan sektor awam sekali gus memperkasa perkhidmatan awam. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata itu merupakan bidang kerjasama utama yang dikenal pasti semasa beliau mengadakan lawatan kerja ke Singapura selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

“Kita ingin belajar dengan Singapura, satu daripadanya mengenai GovTech sebab mereka telah buat GovTech dan kita dalam proses untuk meluncurkan GovTech.

“Kedua, mereka punya perumahan mampu milik melalui Lembaga Perumahan Singapura dan ketiga, yang kita nak belajar tentang pembaharuan dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia) di sini hari ini.

Shamsul Azri juga berkata Singapura menyambut baik kerjasama dan pertukaran amalan baik membabitkan kedua-dua negara bagi mempertingkat mutu perkhidmatan awam.

“Singapura menyambut baik cadangan kita… kita juga ada sesi dengan mereka untuk bincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau menyeru rakyat Malaysia agar membudayakan gaya hidup yang sihat melalui aktiviti bersukan dan pemakanan baik.

Mengambil contoh Singapura, beliau berkata purata jangka hayat penduduk di republik itu ialah 83.5 tahun berbanding 75 tahun di Malaysia.

“Kita harus ingat mencegah adalah lebih baik daripada merawat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan