GERIK, 20 Julai (Bernama) -- Sebanyak 519 spesies biodiversiti termasuk flora, fauna dan kulat ditemukan di sekitar Pulau Banding di sini menerusi program Banding Trail Adventure (BTA) 2025, sekali gus menyumbang kepada pangkalan data biodiversiti negara.
Pulau Banding Foundation (PBF) memaklumkan sebanyak 50 individu terdiri daripada pelajar universiti tempatan dan pakar penyelidik menyertai BTA 2025 selama tiga hari sejak Jumaat lepas bagi mengenal pasti dan merekodkan setiap spesies yang dijumpai di kawasan seluas 4.7 kilometer di pulau berkenaan.
"Sepanjang ekspedisi ini, peserta telah menjalankan aktiviti pensampelan dan identifikasi pelbagai spesies daripada alam biologi seperti plantae, animalia, fungi dan protista secara sistematik dan terkawal melalui pendekatan saintifik berteraskan penyelidikan lapangan.
"Data-data ini membentuk satu senarai semak biodiversiti di Pulau Banding dan menyumbang kepada pangkalan data biodiversiti serta membolehkan kita mendalami, mengenal pasti dan memantau spesies terancam sambil meningkatkan kesedaran serta komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar," menurut PBF dalam kenyataan.
BTA 2025 dianjurkan PBF dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan, Tropical Rainforest Research Centre (TRaCe), Yayasan EMKAY dan Belum Rainforest Resort.
Program turut melibatkan penyertaan Belum Forest Friends (BFF), Exotic Animal Teaching Laboratory (EXOTEL), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Perak, Jabatan Perhutanan Perak serta beberapa univesiti tempatan antaranya Universiti Teknologi MARA dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
BTA 2025 turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) sebagai “Bilangan Spesies Biodiversiti Terbanyak Dikenal Pasti Dalam Sesuatu Program” pada majlis penutup yang diadakan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif EMKAY Group Datuk Fazwinna Mustapha Kamal dalam ucapannya pada majlis penutup berkata hanya 10 peratus kepelbagaian biodiversiti di sekitar Royal Belum telah dikaji setakat ini dan masih banyak rahsia serta khazanah semula jadi yang perlu diterokai dan dijaga.
"Saya dimaklumkan lebih 400 spesies flora dan fauna telah dikenal pasti sepanjang BTA 2025 dan ia membuktikan bahawa Banding Trail juga mempunyai kepelbagaian flora dan fauna sama seperti di Royal Belum, tetapi dalam suasana yang enklave.
"Usaha ini bukan setakat ekspedisi untuk pengisian program sesuatu kajian, tetapi juga satu mesej bahawa hutan bukan untuk dipandang sahaja, sebaliknya untuk dihargai, dipelihara dan difahami,” katanya.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PBF Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad berkata PBF sedang merancang untuk menjadikan BTA sebagai laluan interpretatif kekal yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk penyelidikan, tetapi juga sebagai ruang pembelajaran luar kelas yang terangkum.
"Harapan saya, lebih ramai penyelidik dan institusi akan menjadikan Pulau Banding sebagai tapak kajian jangka panjang, serta medan latihan untuk generasi penyelidik masa hadapan," katanya.
-- BERNAMA