PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Amerika Syarikat, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada bulan Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setakat ini antara yang menyatakan komitmen untuk hadir ialah pemimpin dari Itali, Kesatuan Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat.
“Ia (Sidang Kemuncak ASEAN) akan jadi satu sidang antarabangsa yang besar buat Malaysia,” katanya.
Pada 8 Julai lepas, Anwar berkata beberapa ketua kerajaan dari luar ASEAN telah mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt depan.
Antara pemimpin yang telah mengesahkan kehadiran ialah Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, yang ditemui Anwar di Rom pada 3 Julai lepas, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, yang kini memegang jawatan Presiden Kumpulan G20.
Sementara itu, Anwar berkata lawatan beliau ke luar negara atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini selain memenuhi undangan daripada beberapa pemimpin dunia.
“Saya antara Perdana Menteri yang paling banyak ke luar negara. Kebetulan Malaysia adalah Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
Menzahirkan keyakinan dengan perkhidmatan penjawat awam termasuk pasukan keselamatan negara berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan semasa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN-China baru-baru ini, Anwar berkata beliau yakin Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini akan berlangsung dengan jayanya.
“Kalau tengok prestasi (perkhidmatan) penjawat awam, polis, Jabatan Imigresen dan petugas di lapangan terbang pada ASEAN-GCC dan ASEAN-China lepas, saya yakin dengan keupayaan kita dalam memberikan yang terbaik bagi negara kita,” katanya.
Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), daripada tempat ke-34 pada 2024 kepada tempat ke-23 pada 2025.
Perdana Menteri berkata peningkatan kedudukan itu turut mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan pentadbiran Malaysia, sekali gus memberi isyarat positif menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei lepas turut menampilkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali kedua serta Sidang Kemuncak ASEAN–GCC–China yang diadakan buat pertama kali.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' telah menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan dari 22 hingga 27 Mei lepas.
-- BERNAMA