KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Unit Cahya Mata Sarawak Bhd, iaitu Cahya Mata Cement Sdn Bhd telah menganugerahkan kontrak bernilai RM673 juta kepada Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd, untuk membina barisan pengeluaran klinker baharu 6,000 tan sehari di Loji Bersepadu Mambong di Kuching.
Cahya Mata dalam maklumat kepada Bursa Malaysia hari ini berkata projek itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran klinker anak syarikatnya lebih dua kali ganda daripada 900,000 tan kepada 1.9 juta tan.
“Ia juga akan meningkatkan kecekapan kos kumpulan dan menghapuskan keperluan import klinker pada masa depan, yang akan mengurangkan kesan karbon dengan ketara dalam pengeluaran simen syarikat.
“Projek itu akan bermula pada Ogos 2025 dan dijangka memulakan pengeluaran klinker menjelang April 2027 dan beroperasi sepenuhnya menjelang Jun 2027,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata loji Mambong Clinker Line 2 merupakan langkah utama dalam mengukuhkan rantaian bekalan simen Sarawak, meningkatkan kapasiti, mengurangkan pergantungan import dan menjamin kebolehpercayaan permintaan pada masa hadapan.
“Selain pengeluaran, ia mencerminkan komitmen Cahya Mata untuk membina kemudahan moden yang meletakkan kami sebagai pengeluar simen paling hijau di rantau ini,” katanya.
Cahya Mata berkata kemudahan itu akan menampilkan teknologi terkini untuk meningkatkan prestasi alam sekitar dan kecekapan tenaga, termasuk sistem pemulihan sisa haba yang mampu menjana kuasa sehingga enam megawatt dan sistem penapisan habuk termaju yang direka untuk mengurangkan pelepasan habuk kepada lebih separuh daripada had kawal selia semasa.
Selain itu, Clinker Line 2 juga akan menggunakan peralatan kecekapan tinggi untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida, sambil menggabungkan bahan mentah dan bahan api alternatif sumber tempatan untuk mengehadkan lagi pergantungan kepada bahan api fosil.
“Pada kemuncak pembinaan, projek akan menyediakan sehingga 500 peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan terutama di kawasan Padawan dan Kuching,” katanya.
-- BERNAMA