AM

KKDW ANJUR FESTIVAL KUD SERENTAK DENGAN MK3D HUJUNG BULAN INI

24/07/2025 12:12 AM

PUTRAJAYA, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD) 2025, serentak dengan Mega Karnival 3 Dimensi 2025 (MK3D) bermula dari 30 Julai hingga 3 Ogos ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan hari ini, KKDW memaklumkan MK3D bertemakan "Desaku Mendunia", ialah acara berskala besar yang menggabungkan tiga program keusahawanan utama, iaitu KUD anjuran KKDW, Hari Peneroka FELDA anjuran FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Karnival selama lima hari itu bakal menghimpunkan lebih 1,000 usahawan dari seluruh negara sekali gus menjadi platform mempromosikan produk dan medium bagi mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar terus kepada pemborong, pengedar dan pembeli. 

“MK3D 2025 juga mampu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.

KKDW menjelaskan institusi pembiayaan dan syarikat padanan perniagaan akan menyertai karnival itu bagi membantu memperkukuh keupayaan usahawan luar bandar untuk terus bersaing pada peringkat domestik dan global.

Sebanyak 100 aktiviti akan berlangsung sepanjang MK3D 2025, termasuk konsert kemuncak percuma yang menampilkan artis tempatan seperti Aina Abdul, Adira Suhaimi, Khai Bahar serta Akim & The Majistret.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi https://megakarnival3dimensi.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan