AM

RIBUAN PENGUNJUNG HADIR MENYAKSIKAN PERASMIAN FESTIVAL FLORA BORNEO DI LABUAN

27/07/2025 01:41 AM

LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Festival Flora Borneo (BFF) yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini menyaksikan ribuan pengunjung hadir pada hari pertama acara itu yang julung kali diadakan di sini.

Bertempat di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, acara yang bertemakan ‘Flora Tropika Borneo’ berlangsung dari 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat merasmikan Majlis Perasmian BFF pagi tadi.

Hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.

Sebanyak 31 pempamer terlibat dalam festival berkenaan termasuk dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan dengan mempamerkan 12,000 tumbuhan hiasan melibatkan ratusan spesies bunga tropika yang datang dari pelosok tanah air.

Antara pempamer yang terlibat termasuk Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan komuniti seperti Persatuan Wanita Tani Labuan dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagi memudahkan pengunjung, pengangkutan awam secara percuma turut disediakan di lima lokasi di sini selain lebih 1,000 sukarelawan ditugaskan membantu pengunjung manakala di tapak festival juga disediakan surau, pusat maklumat dan jualan trak makanan.

--BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan