AM

BKNS DIPERLUAS KE PENGAJIAN ASASI, MATRIKULASI DAN A-LEVEL

21/07/2025 06:13 PM

KOTA KINABALU, July 21 (Bernama) -- Skim Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kini diperluas meliputi pengajian peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level bermula tahun ini, selain penyeragaman kadar elaun bagi semua pelajar tajaan di universiti awam dan swasta.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada  komitmen berterusan BKNS dalam menyokong pembangunan pendidikan di Sabah bagi memastikan lebih ramai pelajar berpotensi dapat melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Beliau berkata peruntukan BKNS juga meningkat ketara daripada RM50 juta pada 2020 kepada RM136 juta bagi tahun 2025 – peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding 2019, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah.

"Kerajaan negeri telah membuat pelaburan yang besar untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam pembangunan pendidikan yang memberi manfaat kepada sejumlah 13,550 pelajar dari 2021 sehingga 2024,”katanya  pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut  menyatakan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah telak memperuntukkan sebanyak RM67.17 juta untuk sektor pendidikan tahun lepas yang memberi manfaat kepada 3,234 pelajar – peningkatan ketara sebanyak 148.96 peratus berbanding RM26.98 juta pada tahun 2020.

Hajiji berkata seramai 10,104 penerima telah mendapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada Jun 2022, melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM15.8 juta.

Beliau berkata melalui Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), lebih 48,000 pelajar di seluruh Sabah telah menerima manfaat dalam tempoh lima tahun lepas dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta.

Selaras dengan usaha memperkukuh dan mempelbagaikan inisiatif bantuan pendidikan, katanya pelbagai inisiatif turut dilaksanakan  melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan peruntukan sebanyak RM77.5 juta tahun ini.

“Antara inisiatif tersebut termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one-off  (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY) dan SENTOSA – bantuan kepada pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan, yang disokong oleh agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah.

“Kita akan terus memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela tanpa mengira latar belakang. Kepada generasi muda, teruskan belajar bersungguh-sungguh dan berusaha mencapai kecemerlangan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan