JENAYAH & MAHKAMAH

AHLI PERNIAGAAN RUGI LEBIH RM1 JUTA TERPEDAYA PELABURAN TIDAK WUJUD

22/07/2025 09:08 AM

SEREMBAN, 22 Julai (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan kerugian lebih sejuta ringgit akibat terpedaya skim pelaburan dalam talian tidak wujud pada April lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 50-an itu pada 4.22 petang semalam di Balai Polis Pantai di sini.

“Mangsa mendakwa berurusan dengan individu yang menawarkan skim pelaburan itu pada 29 April lepas dan berminat untuk melabur kerana dijanjikan keuntungan yang lumayan.

“Dia kemudian diminta untuk muat turun sebuah aplikasi di telefon bimbitnya sebelum memindahkan wang ke dalam tujuh akaun yang diberikan untuk tujuan pelaburan melalui 15 transaksi dengan keseluruhan berjumlah RM1,449,750,” katanya dalam kenyataan di sini.

Abdul Malik berkata mangsa menyedari ditipu selepas diminta untuk membuat pembayaran tambahan sekiranya hendak mengeluarkan keuntungan pelaburan tersebut.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan