AM

JKKP PERAK TERIMA LEBIH 500 LAPORAN KEMALANGAN SETAKAT JUN 2025

22/07/2025 06:20 PM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Sebanyak 536 kemalangan di tempat kerja dilaporkan di negeri ini sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan (JKKP) Perak Basharuddin Abd Rahman.

Beliau berkata 10 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa dan empat kes hilang upaya kekal serta 12 kejadian berbahaya dengan siasatan awal mendapati kegagalan majikan menjalankan pentaksiran risiko dan langkah-langkah kawalan berkesan merupakan faktor utama kemalangan di tempat kerja.

"Bagi statistik penyakit dan keracunan pekerjaan, sebanyak 376 kes dilaporkan kepada JKKP Perak sepanjang tempoh yang sama.

"Antara kes tertinggi yang dilaporkan ialah masalah hilang pendengaran akibat pendedahan kepada bunyi bising berlebihan dan berpanjangan," katanya ketika berucap pada Seminar Pencegahan Kemalangan peringkat Perak bersama Persatuan Faundri dan Industri Kejuruteraan Perak (PFEIA) di sini hari ini.

Basharuddin berkata sebanyak 32 kes telah didakwa di mahkamah membabitkan jumlah denda sebanyak RM449,300 bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JKKP sentiasa terbuka untuk mengadakan sesi libat urus dan dialog bersama kerajaan negeri, majikan, pekerja, persatuan industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja seterusnya mengurangkan kadar kemalangan.

Sementara itu, Ketua Seksyen Siasatan dan Pendakwaan JKKP Perak Ir Suhaidy Latip berkata antara punca kemalangan dalam industri faundri disebabkan tidak memakai kelengkapan pelindungan diri (PPE), menggunakan peralatan dengan cara yang salah, melanggar prosedur dan mengendalikan jentera tanpa kebenaran.

"Selain itu, panduan jelas kepada pekerja perlu disediakan dengan memberi arahan setiap tugas demi memastikan semua pekerja tahu cara kerja yang betul dan selamat serta menyediakan arahan langkah demi langkah bagi setiap tugas," katanya semasa sesi ceramah bertajuk Kes Kemalangan Sebenar: Punca, Pengajaran dan Pencegahan.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan