DUNIA

BANK DUNIA AKAN BERI PINJAMAN US$700 JUTA PERKUKUH DAYA TAHAN FILIPINA TERHADAP BENCANA ALAM

02/08/2025 12:12 AM

MANILA, 1 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Bank Dunia akan memberikan pinjaman sebanyak US$700 juta kepada Filipina bagi projek pembinaan semula dan pembangunan yang bertujuan memperkukuh daya tahan negara itu terhadap bencana alam dan perubahan iklim, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan akhbar Bank Dunia pada Khamis, kira-kira 18 juta isi rumah di negara itu dijangka menjadi kurang terdedah kepada bencana alam dalam beberapa tahun akan datang melalui perancangan komuniti yang lebih baik dan pelaburan dalam infrastruktur.

Daripada jumlah keseluruhan US$874.35 juta yang diperlukan untuk projek itu, Bank Dunia akan menyumbang US$700 juta melalui sebuah bank antarabangsa, manakala Kerajaan Filipina akan memperuntukkan baki US$174.35 juta.

Bank Dunia menyatakan yang Filipina berada di kedudukan teratas dalam Indeks Risiko Dunia disebabkan oleh tahap kerentanan dan pendedahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan kejadian iklim, menjadikannya antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.

--BERNAMA-XINHUA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan