LONDON, 22 Julai (Bernama-Anadolu) -- Tentera Israel menyerang kediaman petugas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Gaza sebanyak tiga kali pada Isnin, selain gudang utama agensi itu serta turut menahan beberapa kakitangan serta ahli keluarga mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan Ketua WHO.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesusm berkata dalam satu kenyataan bahawa serangan itu menyasarkan kediaman petugas di Deir al-Balah.
“Tentera Israel memasuki premis berkenaan dan memaksa wanita serta kanak-kanak melarikan diri dengan berjalan kaki menuju ke Al-Mawasi di tengah-tengah pertempuran yang sedang berlaku,” katanya.
Menurut Tedros, kakitangan lelaki dan ahli keluarga mereka digari, dilucutkan pakaian, disoal siasat di tempat kejadian serta diperiksa. Dua petugas WHO dan dua ahli keluarga mereka turut ditahan.
Seramai tiga daripada mereka telah dibebaskan, namun seorang petugas WHO masih ditahan, katanya sambil menambah bahawa 32 kakitangan WHO dan ahli keluarga berjaya dipindahkan ke pejabat WHO sebaik akses dibuka.
“WHO menuntut pembebasan segera petugas yang ditahan serta perlindungan terhadap semua kakitangannya.”
Menyuarakan kebimbangan terhadap perintah pemindahan terbaharu Israel di Deir al-Balah, Tedros menjelaskan bahawa ia menjejaskan beberapa premis WHO sekali gus melemahkan keupayaan agensi itu untuk terus beroperasi di Gaza dan mempercepatkan keruntuhan sistem kesihatan.
“Gudang utama WHO yang terletak di Deir al-Balah turut berada dalam zon pemindahan dan rosak semalam akibat serangan yang menyebabkan letupan serta kebakaran di dalamnya.
“WHO merayu dengan segera kepada negara-negara anggota agar memastikan aliran bekalan perubatan ke Gaza yang berterusan dan konsisten,” katanya sambil menegaskan bahawa gangguan terhadap operasi WHO bermakna seluruh sistem tindak balas kesihatan di Gaza sedang lumpuh.
“Gencatan senjata bukan sahaja perlu — malah sudah terlalu lewat,” tegasnya.
-- BERNAMA-ANADOLU