BEIJING, 22 Julai (Bernama-CMG) -- Kesatuan Eropah (EU) diharap dapat bertindak sehaluan dengan China, membina konsensus, mengatasi perbezaan pendapat dan bersama-sama merencanakan kerjasama untuk tempoh lima dekad akan datang.
Harapan itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar China (MFA) Guo Jiakun dalam sidang media pada Isnin, menjelang Sidang Kemuncak China-EU edisi ke-25 yang bakal berlangsung di Beijing.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dengan EU.
Guo berkata China sentiasa percaya bahawa sepanjang lima dekad lalu, hubungan dengan EU telah mengumpul pengalaman serta tenaga positif yang mencukupi untuk membolehkan kedua-dua pihak menghadapi pelbagai cabaran dan ketidaktentuan global.
"Hubungan China-EU kini berada pada saat kritikal untuk meneruskan kejayaan masa lalu dan menyingkap lembaran baharu kerjasama.
"Diharap EU dapat terus berganding tangan dengan China ke arah melakar masa depan lebih gemilang untuk perkongsian strategik komprehensif yang terjalin antara kedua-dua pihak," katanya.
-- BERNAMA-CMG