AM

KONFLIK THAILAND-KEMBOJA: WISMA PUTRA DIARAH TELITI DAN BERI MAKLUMAT TERKINI

25/07/2025 05:57 PM

PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Wisma Putra untuk meneliti perkembangan konflik sempadan membabitkan Thailand dan Kemboja susulan terdapat isyarat positif daripada kedua-dua negara dalam mempertimbangkan pelaksanaan gencatan senjata.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu selaras dengan peranan yang dimainkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Fahmi berkata Perdana Menteri juga telah memaklumkan Jemaah Menteri hari ini bahawa beliau telah menghubungi Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai semalam, berhubung soal itu.

“Pada waktu ini, terdapat kesediaan antara kedua-dua perdana menteri itu untuk mengumumkan gencatan senjata dan kita menunggu kenyataan daripada mereka.

“Ekoran itu Perdana Menteri telah meminta supaya Wisma Putra meneliti dan memberikan maklumat terkini hasil daripada perbincangan pihak antara Thailand dan Kemboja,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Media melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuduh sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei, susulan satu insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

Pada Rabu lepas, kerajaan Thailand menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas segera selepas seorang anggota tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api yang didakwa baru dipasang.

Kerajaan Kemboja kemudiannya turut bertindak balas dengan menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand ke tahap paling rendah pada Khamis.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan