AM

SPRM, BMR PERKUKUH KERJASAMA RENTAS SEMPADAN

23/07/2025 10:39 AM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited meneruskan kerjasama dengan Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam secara lebih tersusun, termasuk melalui pelaksanaan siasatan selari (parallel) dan pertimbangan perkongsian maklumat rentas sempadan mengikut saluran undang-undang yang sah.

 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kerjasama itu dizahirkan menerusi perbincangan dua hala di Mesyuarat Working Group Kali Ke-18 Bantuan Kerjasama SPRM-BMR Dalam Bidang Operasi Siasatan Dan Perisikan Serta Taklimat Operasi Bersama yang berlangsung pada 21 hingga 23 Julai 2025 di Ibu Pejabat BMR, di Brunei, di sini semalam. 

 

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Working Group SPRM berkata, antara pengisian mesyuarat adalah pembentangan kertas kerja operasi daripada kedua-dua pihak, perbincangan isu-isu siasatan, penyelarasan bantuan luar negara secara risikan serta laporan statistik pencapaian kerjasama antara dua agensi terbabit.

 

“Mesyuarat tahunan ini merupakan platform penting yang membincangkan hal-hal berkaitan operasi siasatan, perisikan strategik, bantuan kerjasama rentas sempadan selain kerjasama membabitkan permohonan redflag bagi saksi atau suspek penting serta penyertaan dalam program latihan dikendalikan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM.

 

“Kami percaya bahawa segala perbincangan ini mencerminkan kematangan hubungan kerjasama antara SPRM dan BMR serta kepercayaan untuk meningkatkan keberkesanan siasatan merentasi sempadan. Kami juga mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan dari BMR ke Malaysia sebagai tanda kerjasama strategik yang berterusan,” katanya.

 

Terdahulu, delegasi SPRM memulakan lawatan rasmi pada 21 Julai lalu ke BMR Brunei Darussalam, Cawangan Kuala Belait yang memberi peluang kepada delegasi untuk memahami struktur operasi dan pendekatan pelaksanaan tugas BMR di peringkat daerah.

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan