KUCHING, 2 Ogos (Bernama) --- Jalan akses yang menghubungkan Jalan Datuk Mohammad Musa di Samarahan ke zon selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dijangka siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna pada September ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek jalan persekutuan sepanjang lapan kilometer itu bakal menjadi laluan alternatif penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Kota Samarahan dan pusat bandar Kuching.
“Setakat ini, kemajuan fizikal projek sudah mencapai 96 peratus. Baki empat peratus kerja yang masih berjalan melibatkan pemasangan kelengkapan jalan dan lampu. Saya dimaklumkan keseluruhan kerja dijangka siap bulan depan,” katanya selepas meninjau tapak projek, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan terus dipacu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang digariskan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, kemudahan pendidikan, kesihatan dan sektor industri adalah antara komponen utama yang diberi keutamaan, khususnya dalam menyokong aspirasi negeri ke arah tenaga hijau dan teknologi mampan.
“Dalam dokumen RMK-13 dinyatakan bahawa Sarawak dan Sabah bakal menjadi hab utama industri tenaga negara. Maka, pelaksanaan projek infrastruktur seperti ini amat signifikan,” katanya.
Sementara itu, Nanta menegaskan Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memainkan peranan penting sebagai pelaksana utama projek prasarana negara.
“Selain pembinaan jalan raya, JKR juga menyokong kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dalam melaksanakan projek pembangunan dan pembaikan sekolah, kolej, hospital serta klinik,” katanya.
-- BERNAMA