JENAYAH & MAHKAMAH

PENYELIA STOR JADI MANGSA SINDIKET PELABURAN DALAM TALIAN, RUGI RM624,617

23/07/2025 01:11 PM

GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Seorang penyelia stor di Batu Kawan kerugian RM624,617 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kejadian bermula pada Februari lepas, apabila lelaki berusia 56 tahun itu terlihat satu iklan pelaburan menawarkan pulangan keuntungan tinggi melalui aplikasi Facebook, sebelum berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi Whatsapp.

Beliau berkata mangsa berminat untuk melabur dalam pelaburan itu selepas suspek menjanjikan pulangan keuntungan dalam singkat dan telah diminta memuat turun aplikasi XGI Horizon untuk mendaftarkan keahlian seterusnya memulakan pelaburan.

“Mangsa telah melakukan 31 transaksi kemasukan wang ke dalam 10 akaun bank milik syarikat berbeza antara 18 Feb hingga 24 April lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan sebelum dapat mengeluarkan keuntungan melalui aplikasi tersebut.

Beliau berkata mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS) semalam, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan