AM

KAPASITI TENAGA DI BINTULU DITAMBAH UNTUK SOKONG PERTUMBUHAN INDUSTRI - ABANG JOHARI

23/07/2025 03:39 PM

KUCHING, 23 Julai (Bernama) -- Sarawak akan membina dua loji tenaga gas masing-masing berkapasiti 500 megawatt, sekali gus menjadikan kapasiti keseluruhan tenaga di Bintulu mencecah satu megawatt menjelang 2035.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu bukan sahaja bagi menampung keperluan penduduk tetapi juga memenuhi permintaan pelabur khususnya dalam sektor industri dan teknologi hijau yang semakin berkembang di Bintulu.

“Perancangan pembangunan menyeluruh turut melibatkan pembinaan sebuah sekolah antarabangsa di Bintulu bagi menarik minat tenaga kerja profesional dan pelabur asing tinggal dan menetap di sini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian sebuah hotel di Bintulu hari ini.

Abang Johari berkata pembangunan Bintulu bermula dengan penemuan gas asli dan pelaburan dalam industri Gas Asli Cecair (LNG) yang kemudiannya merangsang pembinaan pelabuhan serta kemudahan asas seperti hotel dan penginapan bagi menyokong keperluan pemain industri.

Beliau berkata konsep pembangunan berasaskan pelaburan itu menjadikan Bintulu sebagai pusat pertumbuhan baharu bukan sahaja di kawasan Kidurong tetapi turut merangkumi Samalaju.

“Perkembangan pesat ini memerlukan kemudahan selesa termasuk hotel bertaraf antarabangsa yang dapat menampung keperluan pelancong, delegasi dan pelabur.

“Bagi menyokong pertumbuhan pesat ekonomi Bintulu, sistem pengangkutan berteknologi tinggi iaitu Autonomous Rail Transit (ART) berasaskan kuasa hidrogen akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, merangkumi laluan menghubungkan  tiga lokasi strategik iaitu Bintulu, Kidurong dan Samalaju,” katanya.

Menurut Abang Johari, Bintulu juga bakal menjadi bandar kedua selepas Kuching yang menerima sistem ART bagi membantu meningkatkan akses, memudahkan pergerakan dan menyokong pembangunan lestari.

“Seperti yang saya nyatakan di Miri baru-baru ini, Bintulu kini telah dikenali di peringkat global sebagai satu daripada 36 kluster industri rendah karbon di dunia.

“Ini membuktikan bahawa Bintulu kini menjadi tumpuan dunia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan