KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah membangunkan Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) sebagai rujukan piawaian dan panduan dalam merangka program berkualiti yang memenuhi kehendak pasaran kerja.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata antara piawaian ditetapkan dalam COPPA ialah keperluan bagi institusi pengajian tinggi (IPT) menjalankan analisis pasaran dan tahap kebolehpasaran graduan sebelum sesuatu program diluluskan untuk penawaran.
“Bagi kursus pengajian yang berada di bawah seliaan badan profesional, penawaran kursus turut tertakluk kepada kriteria Jawatankuasa Teknikal Bersama bagi memastikan ia memenuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
“Setelah ditawarkan, penilaian dan semakan semula program akan dilaksanakan secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai tindakan menyelesaikan isu ketidakpadanan kursus ditawarkan institusi pengajian tinggi awam dengan pasaran kerja terkini, hingga menyebabkan graduan terpaksa menerima kerja di luar bidang pengajian dengan gaji lebih rendah.
Selain itu, Mustapha berkata KPT menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan LinkedIn Malaysia dalam memperkasakan usaha menyokong keperluan tenaga kerja negara.
Beliau berkata KPT turut melaksanakan beberapa inisiatif seperti CEO@Faculty, CEO@PolyCC, Industry on Campus (IOC), Industry Education Centre, Industry@University, 2u2i dan Program Latihan Industri Berstruktur (SIP) dalam usaha menangani isu ketidaksepadanan antara penawaran kursus dan kehendak industri.
-- BERNAMA