AM

BIZMATCH MEGA PKNS HIMPUN 1,500 USAHAWAN, PERKASA AKSES, JARINGAN PERNIAGAAN

23/07/2025 07:53 PM

SHAH ALAM, 23 Julai (Bernama) -- Program BizMatch Mega 2025 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang disertai lebih 1,500 usahawan ialah platform terbaik dalam usaha memperkukuh dan mengembangkan jaringan perniagaan melalui pelbagai akses kepada agensi pembiayaan serta keusahawanan yang disediakan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkenaan selaras dengan agenda pembangunan keusahawanan negeri bagi membantu golongan usahawan bertemu dan berinteraksi secara terus dengan agensi terpilih yang menyediakan kemudahan pembiayaan, sekali gus membantu membangunkan perniagaan mereka pada masa hadapan.

Beliau berkata ramai individu terpaksa menangguhkan hasrat memulakan perniagaan disebabkan kekangan modal, sedangkan kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan bagi tujuan tersebut.

"Kebergantungan kepada pinjaman bank bukan satu-satunya pilihan dan PKNS mengambil langkah menyediakan platform terbuka untuk membantu usahawan mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta peluang pembiayaan.

"Inisiatif dan usaha oleh PKNS dalam membantu melonjakkan keusahawanan dalam kalangan rakyat Selangor adalah konsisten dan terus berjalan dan kesannya boleh dilihat melalui kejayaan dan penglibatan ramai usahawan dalam program-program yang dilaksanakan seperti BizMatch dan SelBiz," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program BizMatch Mega 2025 di sini yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas.

Antara agensi pembiayaan dan keusahawanan yang terlibat dalam program tersebut termasuk Agro Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), SME Bank, TEKUN Nasional, MARA, Lembaga Zakat Selangor, MATRADE dan SIRIM Bhd.

Selain sesi padanan perniagaan, BizMatch Mega turut menyediakan Pavilion PKNS BizPoint yang menawarkan maklumat berkaitan program keusahawanan dan projek hartanah PKNS serta peluang keahlian BizClub PKNS.

Dalam pada itu, Amirudin turut memuji usaha dan komitmen PKNS yang sehingga kini melahirkan lebih 10,000 usahawan menerusi program di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) dan terus bertahan ketika perbadanan pembangunan ekonomi negeri (SEDC) lain berdepan situasi yang pelbagai.

"Dalam aspek mambangunkan usahawan, PKNS menjadi antara satu daripada SEDC yang mampu bertahan dalam melaksanakan perancangan pembangunan ekonomi dan keusahawanan secara konsisten dan berjaya," katanya.

Terdahulu, pada majlis sama Amirudin turut melancarkan Ekspo Usahawan Selangor (SelBiz) 2025 yang dijangka berlangsung pada 28 hingga 30 Nov depan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan