L aporan empat bahagian ini mengupas permasalahan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini meliputi punca, kesan dan penyelesaian bagi menanganinya. Artikel ini yang kedua.
KUALA LUMPUR, Julai 24 (Bernama) -- “Comelnya.”
Frasa yang cukup lazim kedengaran di majlis keluarga atau keramaian lain, biasanya ditujukan kepada kanak-kanak montel, berwajah bulat dan makan dengan penuh selera.
Sejak turun-temurun, berat badan berlebihan pada kanak-kanak selalunya dianggap sebagai petunjuk kesejahteraan, kononnya tanda mereka sihat dan gembira.
Namun, pakar kesihatan kini memberi amaran pemikiran lapuk itu membawa risiko kepada kesihatan jangka panjang seseorang kanak-kanak.
Obesiti dalam kalangan kanak-kanak tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak berbahaya, sebaliknya dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kesihatan jangka panjang, termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes jenis 2, penyakit jantung, hati berlemak dan juga beberapa jenis kanser.
Selagi masyarakat terus menganggap tubuh badan si cilik yang tembam itu sebagai comel dan tidak berisiko, maka kanak-kanaklah yang akan terus menanggung akibatnya.
NCD DI MALAYSIA
Menurut Profesor Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) yang juga Pakar Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan UM Specialist Centre (UMSC) Dr Muhammad Yazid Jalaludin, obesiti diiktiraf oleh banyak badan dunia sebagai sejenis penyakit.
Beliau berkata obesiti bukan hanya penyakit dari segi saiz dan indeks jisim badan (BMI) yang melebihi tahap ideal, tetapi ditakuti membawa bersama pakej masalah kesihatan kronik, terutamanya NCD yang turut berisiko membawa maut.
pic-2
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), NCD terhasil daripada gabungan faktor genetik, psikologi, alam sekitar dan sikap.
Jenis-jenis utama NCD ialah penyakit kardiovaskular (seperti serangan jantung dan strok), kanser, penyakit respiratori kronik (misalnya penyakit pulmonari obstruktif kronik dan asma) dan diabetes.
Menurut pertubuhan itu lagi, NCD lebih banyak dihidapi oleh penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang merekodkan hampir tiga perempat daripada keseluruhan 32 juta kematian NCD global.
Menurut satu laporan yang disediakan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), WHO dan Pasukan Petugas Khas Antara Agensi berkenaan NCD PBB pada 2024 bertajuk “Prevention and Control of Noncommunicable Diseases in Malaysia: The Case for Investment”, NCD menyumbang kira-kira 72 peratus kepada kes kematian lebih awal di Malaysia saban tahun.
Analisis ekonomi berdasarkan data 2021 menganggarkan NCD mengakibatkan kerugian bernilai RM64.2 bilion setahun meliputi RM12.4 bilion dalam bentuk perbelanjaan sektor penjagaan kesihatan dan bayaran hilang upaya, serta RM51.8 bilion dari segi produktiviti. Nilai keseluruhan kerugian sosial dan ekonomi diakibatkan oleh NCD itu bersamaan 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
Laporan 2024 itu juga mendedahkan satu lagi isu membimbangkan, iaitu Malaysia sedang mengalami beban berganda malnutrisi dan kekurangan zat makanan serta berat badan berlebihan dan obesiti, yang menyebabkan NCD berkaitan pemakanan.
HATI BERLEMAK
Dr Muhammad Yazid berkata daripada masalah obesiti, seseorang kanak-kanak berisiko mendapat penyakit kencing manis jenis 2 lebih awal berbanding orang lain.
“Kanak-kanak yang saya pernah rawat, paling muda umur lapan tahun, dah dapat diabetes jenis 2 yang biasa berlaku pada orang tua.
“Oleh sebab mereka hidap diabetes, mereka biasanya akan ada masalah kolesterol, masalah lemak yang akan memungkinkan mereka mendapat masalah jantung lebih awal daripada orang lain.
“Dulu kita tengok orang kena serangan jantung umur 40 kita kata muda lagi, sekarang umur 28 dah kena serangan jantung atas faktor kegemukan melampau di usia yang masih muda, ditambah pula dengan kolesterol, tekanan darah tinggi dan diabetes,” katanya.
Lebih membimbangkan katanya, kajian yang dijalankan beliau dan rakan-rakan turut mendapati kanak-kanak juga berisiko mengalami masalah hati berlemak.
pic-3
“Seseorang yang ada masalah hati berlemak terlalu awal boleh membawa kepada masalah fibrosis dan sirosis, kemudiannya mereka berisiko lebih tinggi untuk mendapat hepatoselular karsinoma atau kanser hati,” katanya.
Beliau menambah risiko penyakit lain disebabkan oleh faktor kegemukan melampau termasuk kanser kolon, kanser payudara dan kanser berkaitan sistem reproduktif wanita.
“Disebabkan obesiti juga kanak-kanak boleh mendapat ‘sleep apnea’ iaitu keadaan nafas berhenti ketika tidur.
“Situasi itu menyebabkan jantung sebelah kanan membengkak atau (dinding jantung) semakin tebal serta tekanan pada paru-paru tinggi sekali gus pesakit boleh mati ketika sedang tidur,” katanya, menambah kanak-kanak juga berdepan risiko kaki menjadi bengkok kerana terpaksa menampung berat badan berlebihan.
BEBAN JANGKA PANJANG
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 29.8 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun berada dalam kategori berat badan berlebihan (15 peratus) dan obes (14.8 peratus).
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni pada 24 Mei lepas, berkata NHMS menunjukkan prevalens berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak terus meningkat.
“Bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun, kadar ini meningkat daripada 5.6 peratus pada 2019 kepada enam peratus pada 2022.
“Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun, prevalens meningkat daripada 28.5 peratus pada 2017 kepada 30.5 peratus pada 2022, menunjukkan seorang daripada tiga kanak-kanak mengalami masalah berlebihan berat badan atau obesiti,” katanya.
Dr Muhammad Yazid menegaskan masalah berat badan berlebihan dan obes yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak bakal menjadi satu beban besar kepada negara jika tidak dikawal.
pic-4
“Statistik menunjukkan 70 hingga 80 peratus daripada kanak-kanak usia enam hingga lapan tahun yang berlebihan berat badan dan obes akan menjadi orang dewasa obes. Daripada 10 kanak-kanak berusia tujuh tahun yang obes, hanya tiga berjaya capai berat normal apabila mereka dewasa.
“Berat badan berlebihan datang daripada kalori yang berlebihan akibat cara pemakanan tidak sihat, terutama (kerana) mengambil karbohidrat, protein dan lemak secara berlebihan. Latihan dan aktiviti fizikal pun tak ada atau sangat kurang, jadi bagaimana nak turun berat badan?” katanya.
Menurut beliau, tidur lambat atau tidak cukup tidur turut menyumbang kepada masalah obesiti, kerana seperti orang dewasa, kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang cukup cenderung mencari makanan akibat rasa lapar berlebihan di siang hari.
“Bila kanak-kanak kurang tidur, atau tidur tidak berkualiti, mereka akan makan lebih banyak kerana letih keesokan harinya. Lazimnya seperti orang dewasa, kita akan memilih makanan yang bergula, tinggi kalori dan berlemak untuk ‘top-up’ semula tenaga tadi.
“Walaupun tahu makanan yang diambil tu tidak sihat, otak dah ‘set’ untuk ambil makanan sebegitu bagi memenuhi keinginan selera,” katanya.
GAYA HIDUP SEDENTARI
Meskipun faktor genetik memainkan peranan, Dr Muhammad Yazid berkata faktor persekitaran dan tabiat harian memberi pengaruh yang lebih besar.
Pakar itu berkata kajian menunjukkan sekiranya ibu atau bapa obes, kemungkinan untuk seorang kanak-kanak mengalami berat badan berlebihan atau obes ialah lima kali ganda.
pic-5
Namun, jika kedua-dua ibu bapa obes, risikonya meningkat kepada 13 kali ganda.
“Faktor genetik yang membawa kepada obesiti tidak sampai dua peratus. Lebih daripada itu ialah persekitaran, sebab ibu bapa yang obes cenderung makan banyak dan kurang bersenam atau bersukan. Jadi, anak pun ikut cara hidup ibu bapa dan secara tak langsung itu dikatakan genetik.
“Kita pernah buat MyHeART Study, dan kita tengok tahap kecergasan remaja berumur 13,15 dan 17 tahun. Yang betul-betul cergas tidak sampai 10 peratus, yang memang buat aktiviti fizikal yang bagus setiap hari tidak sampai 30 peratus.
“Neraca kita lebih berat kepada pengambilan kalori yang terlalu banyak dan kurangnya pembakaran kalori kerana kurangnya aktiviti. Kita hidup dengan gaya hidup sedentari, akses kepada makanan pun mudah, lapar, pesan, makanan sampai depan mata,” katanya, menambah dalam satu kajian yang dijalankan didapati remaja Malaysia tidak banyak bergerak.
Beliau pada masa sama turut menyentuh tentang kurangnya kesedaran akan kepentingan subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di sekolah dalam usaha memupuk budaya bersukan dan gaya hidup sihat pelajar.
“Subjek PJK seolah dikesampingkan, seolah-olah tidak penting dan sering kali dikorbankan apabila ada aktiviti lain atau ditukar kepada kelas mengulang kaji pelajaran lain. Tanpa sedar, masa yang singkat semasa kelas PJK itulah ruang yang ada untuk pelajar bersenam, buat aktiviti fizikal, mengeluarkan peluh sekali gus membantu menyihatkan badan.
“Kebanyakan pelajar balik dari sekolah terus habiskan masa dengan peranti dan (video) ‘game’. Hanya terperap di rumah tak keluar rumah petang-petang pergi taman, main bola atau berbasikal. Bila bercakap soal ini akan berkait dengan soal keselamatan, faktor cuaca yang tidak menentu sekarang dan macam-macam lagi.
“Dalam hal ini, ia menuntut peranan semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan untuk menyediakan kawasan permainan yang selamat dan terjaga untuk penduduk beriadah sekali gus menyumbang kepada gaya hidup sihat,” katanya.
Dalam hal ini, walaupun cabaran perubatan kesan obesiti adalah besar, pilihan rawatan tetap ada, namun ia juga mempunyai kekangan tersendiri.
METFORMIN
Menolak dakwaan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia hanya berlaku di kawasan bandar atas faktor kesibukan ibu bapa bekerja, status kewangan dan mudah akses kepada makanan, Dr Muhammad Yazid berkata keadaan kini sudah berubah.
pic-6
“Di Amerika Syarikat (AS), kumpulan obes ramai ialah mereka yang berstatus ekonomi (pendapatan) rendah kerana harga makanan sihat, berkhasiat dan berkualiti mahal bagi mereka, manakala di China pula sebaliknya kerana golongan obes ialah mereka yang berpendapatan tinggi dan mewah dengan pelbagai jenis makanan.
“Di Malaysia sekarang, yang ada duit banyak boleh beli dan makan banyak, yang tak ada duit terpaksa makan apa saja yang ada, tak kiralah sihat atau tidak, tinggi gula atau garam dan sebagainya. Itulah yang kita nampak,” katanya.
Menjelaskan tentang ubat-ubatan yang sesuai diambil oleh kanak-kanak bagi menurunkan berat badan berlebihan, beliau berkata hingga kini belum ada ubat khusus untuk mereka bawah umur 12 tahun.
“Ubat metformin banyak kesan sampingan jika diberikan kepada kanak-kanak bawah umur 10 tahun, seperti menyebabkan sakit perut dan boleh kentut sehingga terkeluar najis dengan lemak. Jadi, macam mana kita nak bagi mereka... kalau pergi sekolah nanti kawan-kawan ejek, dah jadi kes lain pula. Ubat ini tak popular untuk kanak-kanak bawah 12 tahun, cuma jika ada yang tetap mahu menggunakannya kita pertimbangkan.
“Metformin digunakan untuk kencing manis jenis 2, boleh diberikan kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas jika kanak-kanak tersebut menunjukkan tanda-tanda kerintangan insulin ataupun pradiabetes. Kita cuba nak ‘reverse’ masalah kesihatannya supaya dia tidak terjerumus terus menjadi diabetes.
“Biasanya mereka perlu ambil ubat ini hingga setahun untuk proses menurunkan berat badan, tetapi ada juga kes yang lebih setahun untuk elakkan pertambahan berat badan melampau dan nak elak tahap kerintangan insulin sangat tinggi,” katanya, menambah terdapat data saintifik yang menunjukkan penggunaan metformin mampu membalikkan pradiabetes antara 50 ke 70 peratus.
LIRAGLUTIDE, BARIATRIK
Berkongsi kajian yang dijalankan dan ditulis oleh beliau bersama-sama beberapa pakar perubatan terkemuka dunia bertajuk “Liraglutide for Children 6 to Less Than 12 Years of Age with Obesity - A Randomized Trial” https://www.nejm.org/doi/pdf/10.1056/NEJMoa2407379, Dr Muhammad Yazid berkata kajian itu menggunakan liraglutide - ubat jenis suntikan sesuai untuk kanak-kanak obes berumur enam hingga 12 tahun bagi mengurangkan selera makan mereka.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal “The New England Journal of Medicine” pada September 2024 itu menunjukkan rawatan dengan liraglutide selama 56 minggu berserta intervensi gaya hidup menghasilkan pengurangan BMI yang lebih ketara berbanding plasebo yang digabungkan dengan intervensi gaya hidup.
“Penggunaan liraglutide ini lebih berkesan bagi kanak-kanak dan orang muda berbanding dewasa, dan kesan sampingannya kurang berbanding ubat-ubatan lain. Kita hanya mula bagi ubat ini kepada kanak-kanak jika mereka masih belum berjaya menurunkan berat badan selepas pelbagai usaha,” katanya, menambah kos liraglutide mencecah sekitar RM1,900 sebulan sekali gus menjadi kekangan bagi kebanyakan keluarga.
Menyifatkan pembedahan bariatrik sebagai langkah terakhir untuk membantu kanak-kanak yang terlalu obes dan berisiko mengalami penyakit lain terutama NCD, beliau bagaimanapun berkata kaedah itu tidak digalakkan buat kanak-kanak yang belum mencapai akil baligh bagi mengelakkan gangguan pertumbuhan.
“Pembedahan bariatrik pada ketika ini bukan untuk kanak-kanak, cuma doktor tertentu yang boleh buat terutama dalam kes obesiti melampau dan sudah mula ada penyakit berkaitan obesiti. Pembedahan ini boleh dilakukan untuk remaja yang pertumbuhannya sudah terhenti dan masuk ke alam dewasa.
“Kesan bariatrik ini mengecilkan saiz organ dalaman perut. Apabila saiz perut lebih kecil, mereka akan berasa cepat kenyang walaupun hanya memakan jumlah makanan yang kecil. Kesannya, penyerapan mineral dan vitamin tertentu memang akan terjejas dan sekiranya kita tak ganti, memang akan ada masalah.
“Disebabkan itu, selepas pembedahan pesakit masih perlu berjumpa doktor atau pakar pemakanan untuk mendapatkan nasihat yang betul supaya mereka tak berdepan masalah lain kerana kegagalan penyerapan vitamin tertentu. Sebagai contoh, kurang vitamin D beri kesan osteoporosis, kurang vitamin K boleh berlaku pendarahan dan kesan lebam,” katanya, menambah terdapat kes di AS pesakit menjadi buta selepas pembedahan bariatrik kerana kekurangan vitamin A.
MAKANAN RINGAN BERLELUASA
Selain peranan pihak hospital dan klinik, persekitaran harian yang dilalui oleh kanak-kanak khususnya di sekolah, turut memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat pemakanan dan kesihatan mereka untuk jangka masa panjang.
pic-7
Berkongsi kebimbangan situasi penjualan minuman manis, makanan ringan dan segera yang semakin menjadi-jadi termasuk di luar pagar sekolah, beberapa ibu bapa yang ditemui Bernama menyifatkan hal itu sebagai “ancaman” kepada kesihatan anak-anak mereka.
Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Siti Balkis, 42, berkata hampir setiap hari anaknya akan membeli sama ada ais krim, snek ringan atau ‘jelly ball’ (gula-gula jeli berwarna-warni) selepas tamat sesi persekolahan kerana penjaja hanya berada beberapa langkah dari pintu pagar.
“Setiap kali balik sekolah mesti anak nak beli sesuatu. Sukar untuk halang kerana ‘benda’ sudah ada di depan mata. Kanak-kanak mudah terpengaruh lagi-lagi dengan ‘packaging’ yang berwarna-warni dan menarik. Kadang-kadang kami sendiri tidak tahu apa yang mereka makan sebab macam-macam jenis yang ada di pasaran hari ini,” katanya ibu kepada empat cahaya mata itu.
Sementara itu bagi Muhammad Saufi, 39, kewujudan penjaja yang menjual makanan tinggi kandungan gula, garam dan bahan-bahan sampingan lain di luar kawasan sekolah menuntut tindakan yang lebih tegas daripada pihak berkuasa.
“Jenis makanan yang dijual pun perlu dipantau sebab kebanyakannya memang tidak sihat. Sedap bagi budak-budak tapi banyak kesan buruk dari segi kesihatan,” katanya mencadangkan agar pihak sekolah bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta PBT bagi memantau lebih ketat aktiviti penjualan di luar pagar sekolah selain menggalakkan jualan makanan alternatif yang sihat pada harga mampu milik.
Sebagai kesimpulan, ketika Malaysia bergelut dengan kesan jangka panjang obesiti kanak-kanak, pakar menegaskan rawatan semata-mata tidak mencukupi. Pencegahan awal, kesedaran awam dan penguatkuasaan peraturan yang lebih tegas amat penting untuk memutuskan kitaran itu sebelum menjadi beban yang lebih teruk kepada negara.
Daripada makanan tidak sihat kepada risiko keturunan yang dipengaruhi oleh gaya hidup tidak aktif, isu ini menuntut tindakan segera dan menyeluruh. Bukan sekadar untuk mengurangkan berat badan, tetapi bagi melindungi kesihatan dan produktiviti generasi muda negara pada masa depan.
Esok: Di sebalik setiap kanak-kanak yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, tersembunyi ‘perjuangan’ yang bukan hanya soal kesihatan, tetapi keyakinan diri, emosi dan jati diri. Bahagian tiga mengupas kesan senyap obesiti kanak-kanak terhadap kesihatan mental mereka.
[Artikel ini dihasilkan di bawah Program Media Fellowship “Komunikasi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD)” anjuran Probe Media Foundation Inc. (PMFI), Reporting ASEAN (RA) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Pandangan dan pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini tidak semestinya mencerminkan pandangan PMFI, RA dan WHO.]