MELAKA, 25 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Melaka sedang giat menggerakkan “Kempen Kurangkan Gula” bermula di premis makanan dan minuman di sekitar negeri itu, susulan peningkatan kadar obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan rakyatnya.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata usaha itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga supaya mengurangkan gula dalam penyediaan makanan dan minuman.
Beliau berkata pengambilan gula berlebihan perlu dielakkan bukan sahaja untuk mengawal berat badan, tetapi bagi mengelakkan penyakit tidak berjangkit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung dan strok.
"Melaka merupakan negeri kedua tertinggi mempunyai pesakit diabetes secara keseluruhan iaitu 20.5 peratus melibatkan mereka yang tahu menghidap diabetes ketika kajian dan mereka yang tidak tahu menghidap diabetes ketika kajian, tetapi ujian darah menunjukkan mereka telah menghidap diabetes.
"Trend penyakit tidak berjangkit ini amat membimbangkan kerana obesiti dan diabetes selain penyakit darah tinggi dan tahap kolesterol tinggi boleh menyebabkan strok serta penyakit kardiovaskular yang boleh mengakibatkan kematian pramatang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap Jabatan Kesihatan Melaka yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa.
Pada masa sama, Ngwe turut menyarankan rakyat negeri Melaka untuk mengamalkan cara hidup sihat dengan melakukan senaman dan mengawal pemakanan.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang dijalankan setiap empat tahun sekali itu menunjukkan sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan dan obesiti iaitu 32.6 peratus berlebihan berat badan manakala obesiti 21.8 peratus.
Di Melaka pula, 33.3 peratus penduduk didapati mengalami berat badan berlebihan manakala 25.1 peratus lagi mengalami obesiti, menjadikan keseluruhan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti adalah sebanyak 58.4 peratus.
Terdahulu pada program berkenaan, lapan premis makanan di sekitar Plaza Mahkota menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat sekali gus memberi jaminan dan keyakinan kepada pelanggan terhadap keselamatan dan kualiti makanan di premis berkenaan.
Beliau berkata dalam tempoh 2023 hingga hari ini, sebanyak 237 premis makanan dan minuman di Melaka telah menerima pengiktirafan berkenaan sekali gus membantu memberi nilai tambah pada subsektor pelancongan makan-makan di negeri itu.
-- BERNAMA