JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM P.PINANG RAMPAS 52.047 KG BUNGA GANJA BERNILAI LEBIH RM5 JUTA

24/07/2025 01:16 PM

BUTTERWORTH, 24 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 52.047 kilogram (kg) bunga ganja bernilai lebih RM5 juta selepas menahan sebuah kereta di Sungai Petani, Kedah akhir bulan lepas.

Pengarah JKDM negeri Rohaizad Ali berkata dalam operasi oleh Cawangan Narkotik pada 29 Jun itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

“Hasil maklumat risikan, pasukan operasi telah mengekori kereta jenis Perodua Axia dipandu suspek dari Jitra, Kedah dan menahan kenderaan itu di susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan.

“Pemeriksaan menemukan tiga guni dengan satu di bawah tempat duduk penumpang belakang manakala dua lagi di dalam but yang keseluruhannya mengandungi 49 ketulan mampat bunga ganja seberat 52.047 kg dianggarkan bernilai RM5.1 juta,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini hari ini.

Rohaizad berkata siasatan awal mendapati bunga ganja berkenaan diseludup dari negara jiran dan ketika ditahan, suspek dipercayai dalam perjalanan membawa dadah itu ke sebuah negeri di selatan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata siasatan turut mendapati kenderaan dipandu suspek merupakan kereta sewa dan kedua-dua lelaki itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Rohaizad berkata siasatan lanjut kes ini sedang dijalankan pihaknya dengan operasi berkenaan hasil maklumat risikan oleh Ibu Pejabat JKDM dan JKDM Zon Utara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan