DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA 0.36 PERATUS LEBIH RENDAH, JEJAKI PETUNJUK GLOBAL

25/07/2025 10:27 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 25 Julai Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat selepas mencatatkan kenaikan selama dua sesi berturut-turut, sejajar dengan prestasi pasaran global yang tidak menentu

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.59 mata kepada 1,535.73 daripada 1,540.32, yang juga paras tertinggi harian, ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.60 mata lebih rendah kepada 1,538.66.

Jumlah dagangan mencecah 214.97 juta saham dengan nilai RM113.71 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata Wall Street ditutup bercampur-campur apabila Purata Perindustrian Dow Jones ditutup rendah akibat penjualan saham IBM.

Beliau berkata di Hong Kong, Indeks Hang Seng meneruskan kenaikan untuk kekal dalam lingkungan 25,700.

“Prestasi itu dicatatkan apabila sentimen kekal positif, dengan Amerika Syarikat (AS) dilihat lebih terbuka dalam rundingan ketika ketegangan perdagangan berterusan, dan banyak pihak berharap perjanjian dapat dicapai antara AS dan Kesatuan Eropah (EU) dalam masa terdekat.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI menunjukkan prestasi yang agak baik apabila ditutup pada paras 1,540 berkemungkinan disokong oleh institusi menjelang musim pelaporan prestasi kewangan syarikat,” katanya kepada Bernama.

Yee berkata indeks itu dijangka mengekalkan aliran positif dan bergerak dalam julat 1,535 hingga 1,550 hari ini.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.61, Tenaga Nasional susut 18 sen kepada RM13.76 dan CIMB menguncup satu sen kepada RM6.69, manakala IHH Healthcare naik tiga sen kepada RM6.68 dan Public Bank tidak berubah pada RM4.31.

Bagi kaunter aktif, NexG naik satu sen kepada 52.5 sen, Green Packet menokok setengah sen kepada lima sen dan Lotte Chemicals turun satu sen kepada 69.5 sen, manakala TWL, Pharmaniaga dan SFP Tech masing-masing kekal tidak berubah pada 2.5 sen, 22 sen dan 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 30.76 mata kepada 11,520.41, Indeks FBMT 100 turun 31.96 mata kepada 11,282.60 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 39.34 mata kepada 11,541.62.

Indeks FBM 70 susut 39.42 mata kepada 16,619.45, manakala Indeks FBM ACE naik 0.88 mata kepada 4,643.39.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 10.21 mata kepada 17,495.37; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.41 mata kepada 157.75, manakala Indeks Tenaga naik 1.17 mata kepada 739.85 dan Indeks Perladangan menokok 1.02 mata kepada 7,470.98.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan