SEREMBAN, 25 Julai (Bernama) -- Seorang lagi pelajar yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 15 motosikal di Kilometer 262.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Khamis meninggal dunia, sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang maut empat orang.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din berkata lelaki berusia 19 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 12.30 pagi tadi semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).
"Ya, mangsa telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJS dan punca kematian disebabkan kecederaan otak traumatik,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Media semalam melaporkan tiga penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas dipercayai ketika berkonvoi.
Mangsa berusia 18 hingga 20 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah, manakala 12 penunggang yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk rawatan lanjut dengan dua daripadanya cedera parah dan dirawat di ICU.
-- BERNAMA