KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Polis Brickfields melupuskan barang kes bernilai RM721,239 yang dirampas sejak 2017 termasuk wang palsu mata wang Amerika Syarikat hasil kegiatan penipuan penukaran wang oleh sindiket antarabangsa.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata pelupusan itu melibatkan 124 kertas siasatan jenayah dan jenayah komersial yang telah selesai sepenuhnya di mahkamah.
“Sebanyak 47,906 barang kes jenayah dengan nilai keseluruhan RM630,565 telah dilupuskan, manakala kes jenayah komersial pula membabitkan 1,325 barang kes dengan nilai RM90,674,” katannya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini hari ini.
Antara yang dilupuskan wang tunai RM9,833 dan sejumlah besar barangan rampasan lain, termasuk daripada kegiatan perjudian, pusat hiburan tanpa lesen, pelacuran serta rumah urut haram.
Ku Mashariman berkata antara kes itu melibatkan seorang warga asing yang terlibat dalam penipuan pertukaran wang pada tahun lepas dan suspek menggunakan USD400,000 wang palsu untuk memperdaya mangsa yang mahu menukar mata wang.
“Kita tahan suspek dan merampas wang tunai USD400,000 yang disahkan palsu. Suspek telah didakwa, dihukum penjara 15 bulan dan akan dihantar pulang ke negara asal,” katanya.
Beliau berkata tujuan utama pelupusan itu adalah untuk memastikan semua barang kes dilupus secara sah mengikut peruntukan undang-undang, mengurangkan beban penyimpanan serta mengelak risiko kecurian jika disimpan terlalu lama.
-- BERNAMA