AM

RAJA PERMAISURI AGONG MULAKAN LAWATAN DUA HARI KE LABUAN

26/07/2025 02:25 PM

LABUAN, 26 Julai (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari, yang juga lawatan kedua Seri Paduka Baginda ke pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa Malaysia itu.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah di Lapangan Terbang Labuan pada 11.27 pagi disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Seri Noridah Abd Rahim.

Turut menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib dan Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim.

Raja Permaisuri Agong diiringi oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Semasa lawatan ini, Raja Zarith Sofiah dijadualkan menyempurnakan Festival Flora Borneo Labuan (BFF) yang julung-julung kali diadakan, di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan hari ini, diikuti oleh majlis santapan malam.

Esok, Seri Paduka Baginda dijadualkan menyempurnakan pembukaan Galeri Kraftangan Labuan yang baru ditubuhkan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan