KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri mendoakan agar baginda dan seluruh Kerabat Diraja Pahang dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam catatan di Facebook turut merafak sembah dan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah atas Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah hari ini.
“Patik mendoakan semoga Allah SWT melanjutkan usia dan mengurniakan kesihatan yang berpanjangan kepada Baginda, agar negeri Pahang terus dilimpahi keamanan, kemakmuran, kesejahteraan serta kemajuan di bawah naungan Tuanku.
“Semoga pemerintahan Tuanku sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT,” kata beliau.
-- BERNAMA