SHAH ALAM, 25 Julai (Bernama) -- Kebakaran hutan yang melibatkan beberapa kawasan di Selangor kini dalam keadaan terkawal, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata bagaimanapun tumpuan dan fokus pemantauan di kawasan tanah gambut masih dilakukan berikutan risiko kebakaran adalah lebih besar serta sukar dikawal.
“Ada tiga insiden kebakaran iaitu di Kuala Kubu Bharu, Kajang dan Seri Gombak. Tapi Alhamdulillah dapat dikawal dengan segera.
“Ketika ini kita tengah monitor (pantau) situasi di Kuala Kubu Bharu untuk pastikan tidak berlanjutan. Yang kita risau ialah di kawasan tanah gambut, sebab kalau (kebakaran) berlaku, ia akan mengambil masa yang panjang serta melibatkan operasi yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin berkata Unit Pengurusan Bencana Negeri telah digerakkan bagi memantau keadaan jerebu secara harian.
Beliau berkata pemantauan itu turut merangkumi rondaan lebih kerap di kawasan titik panas dan berisiko tinggi agar kebakaran tidak berulang.
Sementara itu, mengulas mengenai pesta buku berkenaan, Amirudin berkata penganjuran kali ketiga itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem industri buku khususnya dalam segmen kanak-kanak.
Beliau berkata selain penganjuran pesta buku umum yang lazim diadakan setiap tahun, Selangor turut memberi tumpuan kepada penganjuran pesta buku khusus untuk kanak-kanak bagi membuka ruang lebih luas kepada penerbit tempatan memasarkan karya masing-masing.
Katanya lebih 160 reruai disediakan dalam pesta buku kali ini merangkumi penerbit buku serta pelbagai agensi dan organisasi berkaitan kanak-kanak, dengan anggaran 80,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan pesta yang berlangsung selama empat hari bermula semalam di Kompleks PKNS.
-- BERNAMA