Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang kukuh dan sentimen risiko perdagangan yang bertambah baik, kata seorang penganalisis.
Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata keyakinan meningkat susulan potensi perjanjian perdagangan AS-Kesatuan Eropah dan perjanjian Asia-Pasifik lebih meluas yang boleh merangkumi Malaysia.
"Emas berdepan tekanan daripada pengukuhan dolar dan peralihan kepada aset berisiko," katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2025 susut kepada US$3,350.0 setiap auns troy daripada US$3,366.8 setiap auns troy pada Khamis, kontrak Ogos 2025 turun kepada US$3,367.4 setiap auns troy daripada US$3,385.1 manakala kontrak September 2025 berkurangan kepada US$3,373.3 setiap auns troy daripada US$3,391.0.
Kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 juga berkurangan kepada US$3,402.6 setiap auns troy daripada US$3,420.3 sebelumnya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 34 lot daripada 31 lot, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 71 kontrak daripada 74 pada Khamis.
Emas fizikal berharga US$3,365.85 setiap auns troy berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 24 Julai 2025.
-- BERNAMA