AM

ANUGERAH DPPN PULAU PINANG SUNTIK SEMANGAT TERUS PERKASA PERKHIDMATAN AWAM - KSN

26/07/2025 04:47 PM

GEORGE TOWN, 26 Julai (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan penganugerahan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang diterimanya hari ini sebagai suntikan semangat untuk terus memperkasakan perkhidmatan awam ke arah kecemerlangan tertinggi.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib atas penganugerahan yang membawa gelaran Datuk Seri itu.

“Anugerah ini menyemarakkan lagi semangat saya dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan awam ke tahap lebih cemerlang dan tertinggi,” katanya secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-84 Tun Ramli di Dewan Seri Pinang, di sini hari ini.

Beliau turut menyeru semua penjawat awam supaya melaksanakan tugas dengan penuh semangat dan sentiasa bersedia berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Shamsul Azri mendahului senarai 280 penerima pada hari ini, diikuti Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang Tan Sri Dr Mohd Yussof Abdul Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad Datuk Farhash Wafa Salvador menerima DPPN yang membawa gelaran Datuk Seri. 

Tahun ini, sebanyak 150 individu akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran manakala 1,380 orang menerima Bintang dan Pingat Kehormatan pada istiadat yang diadakan selama empat hari bermula pada hari ini, 28, 29 dan 30 Julai ini.

Terdahulu, istiadat berkenaan dimulakan dengan 17 das tembakan meriam diikuti dengan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan serta kawalan kehormatan secara serentak.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan