AM

BANTUAN SARA RM100 SEKALI BERI PADA 31 OGOS TIDAK PERLU DIMOHON - MOF

26/07/2025 07:32 PM

SEMPORNA, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Kewangan mengingatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sekali beri pada 31 Ogos ini tidak perlu dimohon, sebaliknya akan dimasukkan terus ke dalam  kad pengenalan masing-masing.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Zamzuri Abdul Aziz berkata pemberian bantuan itu juga tidak melalui mana-mana e-dompet.

"Sehubungan dengan itu, rakyat digesa tidak tertipu dengan scam yang mengatakan bahawa mereka boleh bantu untuk memohon atau memberi link (pautan) kepada mana-mana e-dompet," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Pulau Bum Bum di sini hari ini.

Zamzuri berkata pemberian bantuan SARA itu tidak mengguna pakai orang tengah dan RM100 terus dikreditkan ke dalam kad pengenalan individu berumur 18 tahun ke atas.

"Bagi yang mendapat bantuan ini, boleh terus pergi ke kaunter premis berdaftar SARA, boleh tunai di sana, kalau ada maklumat pihak ketiga yang kata mahu minta daftar, minta tuan puan daftar dalam akaun tertentu, semua itu tidak benar," katanya.

Pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas turut menerima bantuan SARA RM100 sekali beri.

Bantuan kewangan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini bagi membeli barangan asas ditetapkan di 4,100 kedai di seluruh negara.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan