DUNIA

RUBIO SIFATKAN JD VANCE SEBAGAI "CALON HEBAT" UNTUK PILIHAN RAYA PRESIDEN 2028

27/07/2025 10:01 PM

MOSCOW, 27 Julai (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio, menyifatkan Naib Presiden JD Vance sebagai “calon yang hebat” untuk Pilihan Raya Presiden 2028, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Saya fikir JD Vance akan menjadi calon yang hebat,” kata Rubio dalam satu temu bual bersama menantu perempuan Presiden AS, Lara Trump, di saluran Fox News.

Pada Jumaat, Emerson College Polling mengeluarkan hasil tinjauan dijalankan pada 21–22 Julai melibatkan 1,400 pengundi AS, yang menunjukkan jika pilihan raya presiden 2028 diadakan hari ini, 44.4 peratus rakyat AS akan mengundi Vance, manakala 41 peratus lagi akan memilih Ahli Kongres Demokrat, Alexandria Ocasio-Cortez.

Vance juga mengatasi Gabenor California Gavin Newsom, dengan 45.3 peratus responden menyokong Vance berbanding 42.1 peratus untuk Newsom. Dalam pertembungan dengan bekas Setiausaha Pengangkutan Pete Buttigieg, Vance turut mendahului dengan 43.9 peratus berbanding 43.1 peratus.

Menariknya, dalam pilihan raya separuh penggal 2026, sedikit majoriti pengundi menyatakan sokongan kepada calon Demokrat (44 peratus) berbanding calon Republikan (41.5 peratus).

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan