AM

SULTAN PAHANG ZAHIR TAKZIAH ATAS PEMERGIAN KETUA POLIS DAERAH JERANTUT

26/07/2025 09:27 PM

KUANTAN, 26 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Polis Daerah Jerantut, Allahyarham Supt Zukri Muhammad, yang meninggal dunia petang tadi.

Menerusi hantaran di laman rasmi Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta beramal soleh.

"Baginda berdua turut berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarham yang ditinggalkan reda dan tabah menghadapi kehilangan ini," menurut kenyataan itu.

Allahyarham Zukri, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Taman Saujana Utama, Jerantut kira-kira pukul 3 petang.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Kontinjen Pahang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan