EKONOMI

STRATEGI SEMIKONDUKTOR NASIONAL RAIH SOKONGAN PELABUR, SERANTAU -- CIMB

28/07/2025 12:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- CIMB Securities Sdn Bhd menjangkakan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) akan terus meraih tarikan dalam kalangan pelabur, institusi dan pihak berkepentingan serantau.

Dalam nota penyelidikannya, firmaa pembrokeran itu berkata peralihan Malaysia daripada sistem kerja asas pemasangan tradisional kepada hab semikonduktor sepenuhnya selain reka bentuk hingga pembungkusan, masih giat dijalankan.

Pada masa sama, Malaysia yang berusaha untuk menjadi nod atau titik tumpuan neutral sukar digantikan dari segi rantaian bekalan cip global, turut disokong oleh komitmen pelaburan sebanyak RM63 bilion selain kemunculan lebih banyak syarikat tempatan yang berjaya selain penjajaran ASEAN yang lebih erat.

“Kami menganggap ini sebagai salah satu kelebihan utama dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi menarik bagi pembuatan semikonduktor di peringkat global,” katanya.

Firma pembrokeran itu berkata sejak dilancarkan, NSS berjaya menarik pelaburan sebanyak RM63 bilion yang merangkumi RM58 bilion dalam pelaburan langsung asing dan RM5.2 bilion dalam pelaburan langsung domestik yang didorong oleh projek berimpak tinggi.

Pelaburan itu, juga, katanya, memaparkan keyakinan pelabur yang kian ketara terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia.

NSS yang dilancarkan pada Mei 2024, menyasarkan transformasi “Dibuat Di Malaysia” kepada “Dibuat Oleh Malaysia” dengan memperkukuh keupayaan domestik dalam reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan serta pembungkusan maju selain memupuk syarikat tempatan unggul yang merentasi rantaian nilai.

CIMB Securities berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia menerajui Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor ASEAN Bersepadu bagi melaras aliran bakat, insentif fiskal serta infrastruktur di rantau ini.

Satu memorandum persefahaman turut dimeterai oleh persatuan semikonduktor Malaysia, Singapura, Vietnam, Thailand dan Filipina bagi mewujudkan ekosistem cip serantau yang sepakat.

-– BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan