KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Golongan yang mewarisi kefahaman serta pemikiran kelompok khawarij (ekstremis) yang terus menanam kebencian atas nama Tuhan bagi meraih laba atau keuntungan politik harus dikecam dan disanggah sekeras-kerasnya oleh semua pihak, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata golongan itu harus ditolak oleh setiap daripada kita yang mahukan negara ini selamat daripada ancaman kumpulan ekstrim dan radikal.
“Mendoakan kehancuran buat saudara Islam yang lain adalah manifestasi pemikiran radikal yang akan merosakkan dan memecahbelahkan umat.
“Jelas bahawa ini adalah sikap mereka yang mewarisi kefahaman dan pemikiran kelompok khawarij, yang terus menerus menanam kebencian atas nama Tuhan bagi meraih laba politik,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Pada perhimpunan yang berlangsung di ibu negara Sabtu lepas, ribuan rakyat termasuk beberapa pemimpin pembangkang mengakhiri perhimpunan itu dengan bacaan doa yang turut mengandungi niat buruk terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata imej keagamaan seperti memakai kopiah kini disalahgunakan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat.
“Kopiah atas kepala yang sepatutnya mengawal sikap dan tingkah laku kita akhirnya tidak lebih sekadar menjadi perhiasan bagi menawan minda masyarakat yang keliru dan galau pemikirannya,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh kisah Abdul Rahman ibn Muljam, seorang yang digelar sebagai ahli ibadah, ahli Quran dan seorang yang warak, namun akhirnya memilih untuk membunuh Saidina Ali kerana berasa lebih Islam dan benar daripada Saidina Ali.
“Ini pengajaran daripada sejarah yang kita perlu hadam,” katanya.
-- BERNAMA